BERITA TERKINI   PM Anwar tiba di Ashgabat pada 8 malam (11 malam waktu Malaysia) untuk lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan | Kerajaan Persekutuan luluskan penubuhan Majlis Tahfiz Negara - TPM Ahmad Zahid | PRN Johor: Chu Poh Yee calon DAP bagi kerusi DUN Mengkibol menggantikan penyandang Chew Chong Sin - Loke | Bekalan minyak: draf perjanjian dan prinsip kerjasama telah dipersetujui, hanya menunggu proses pemuktamadan & pemeteraian selepas lawatan teknikal terperinci - PM Anwar | Rusia beri jaminan bekalan minyak dan gas kepada Malaysia untuk jangka masa panjang - PM Anwar | 

Kestabilan Politik Penting Bagi Tangani Cabaran Ekonomi -- Johari Ghani

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Aspek kestabilan politik adalah penting bagi membolehkan mana-mana negara atau ekonomi menangani cabaran ekonomi yang ketara di tengah-tengah realiti ketidaktentuan global, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau turut menegaskan tanpa kestabilan politik, sememangnya sukar bagi sesebuah negara untuk mampu menangani cabaran yang mendatang dan mengekalkan tumpuan ke atas keutamaan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

“Jika anda tiada kestabilan politik, adalah amat sukar untuk mengatasi kesemua cabaran itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai yang berperanan sebagai moderator program Concorde Club bertajuk ‘War and Tariffs: Our Response’ di Wisma Bernama di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan wakil media tempatan dan asing. 

Menjelaskan selanjutnya, Johari berkata negara perlu mengutamakan usaha memperkukuh ekonomi serta melindungi kesejahteraan rakyat, terutama ketika Malaysia terus berdepan kekangan fiskal serta defisit belanjawan.

Pada masa sama, subsidi yang tinggi turut memberi tekanan terhadap kewangan kerajaan dan hanya membuktikan kestabilan politik sebagai amat kritikal untuk menyokong kelancaran penggubalan dasar serta pengurusan cabaran ekonomi dengan lebih cekap.

“Alasannya, bagi saya, kita memerlukan kestabilan politik yang sebenar di negara ini. Sekurang-kurangnya bagi masa sekarang, itulah yang amat kita perlukan,” katanya.

Johari turut menekankan tidak merujuk mana-mana insiden secara khusus, sebaliknya menzahirkannya secara umum dan kestabilan politik adalah sesuatu yang perlu ditegakkan di serata negara secara menyeluruh.

“Seluruh negara perlu mempunyai kestabilan politik sedemikian,” kata beliau.

-- BERNAMA