BERITA TERKINI   Krisis Bekalan Global: Jaminan bekalan keperluan asas sentiasa mencukupi antara tiga strategi utama lindungi rakyat - TPM Fadillah | Krisis bekalan global: Kerajaan ambil tindakan awal pastikan rakyat kekal dilindungi dalam menghadapi gelombang kedua - TPM Fadillah | Dunia memasuki gelombang kedua krisis bekalan global, iaitu gangguan bekalan barangan berasaskan minyak dan gas - TPM Fadillah | Siri Ops Tiris berjaya catat nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM263.41 juta menerusi 6,773 kes sehingga 23 April -- KP KPDN | Kerajaan sedang mempergiat usaha mendapatkan sumber tambahan, memperluas kerjasama antarabangsa serta mencari bahan mentah alternatif bagi bahan plastik - TPM Fadillah | 

JOSFA Rancang Perluas Projek Ternakan Udang Putih Dalam Tangki, Penuhi Keperluan Pasaran

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

JOHOR BAHRU, 24 April (Bernama) -- Persatuan Nelayan Negeri Johor (JOSFA) merancang untuk memperluas projek ternakan udang putih dalam tangki pada skala besar bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan yang semakin meningkat.

Pengerusinya Datuk Mohamad Dolmat berkata usaha itu adalah susulan kejayaan projek ternakan udang putih yang mula diternak sejak September tahun lepas di tanah berkeluasan 1.62 hektar di Kampung Sungai Danga, di sini.

Beliau berkata pada peringkat awal pelaksanaan, pihaknya berdepan kebimbangan terhadap sambutan pasaran, namun keadaan berubah apabila permintaan melebihi bekalan yang mampu dihasilkan.

“Pada awalnya kita bimbang jika tiada pembeli, tetapi sekarang bekalan tidak mencukupi untuk menampung permintaan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Mohamad berkata projek yang beroperasi di tanah milik JOSFA itu setakat ini memiliki sembilan tangki ternakan dan dua tangki rawatan air.

Dengan kitaran tuaian setiap empat bulan, projek itu mampu menghasilkan kira-kira tiga pusingan tuaian setahun sekali gus menyokong usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara serta merancakkan ekonomi tempatan.

Menurutnya projek itu setakat ini telah berjaya mengeluarkan tuaian pertama iaitu sebanyak 22 tan pada awal tahun ini dan diedarkan kepada pemborong selain turut dijual menerusi Jualan MADANI sekitar Johor dan  Putrajaya.

Bagaimanapun katanya di Johor sahaja permintaan harian bagi satu pemborong boleh mencecah antara 500 kilogram hingga satu tan udang sekali gus menunjukkan potensi pasaran yang besar untuk industri akuakultur tempatan.

Sehubungan itu, JOSFA sedang merancang untuk memperluas operasi dengan memohon sewaan  tanah kerajaan negeri menerusi J-Biotech seluas kira-kira 20.24 hektar di Sedili, Kota Tinggi.

Katanya perluasan itu berpotensi meningkatkan kapasiti pengeluaran dengan anggaran sekitar 100 tangki ternakan sekali gus membolehkan pengeluaran bulanan melebihi 10 tan udang untuk satu hingga lima tangki.

Mohamad berkata JOSFA pada masa sama terbuka untuk bekerjasama sekiranya kerajaan negeri mahu menyediakan tapak atau pajakan tanah berhampiran sumber air bagi meluaskan lagi projek berkenaan pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Mohamad berkata projek ternakan udang dalam tangki itu diusahakan dengan menggunakan sumber kewangan sendiri yang dilengkapi pelbagai fasiliti termasuk sistem pengudaraan menggunakan blower bagi menjana oksigen tangki.

Beliau berkata projek ternakan udang dalam tangki juga memudahkan kawalan kualiti air berikutan lebih efisien berbanding ternakan di kolam.

“Walaupun kos tinggi sedikit berbanding kolam, tetapi dari segi pengendaliannya lebih teratur dan bersistematik,” katanya.

Mohamad pada masa sama berkata aspek lain termasuk keperluan kalsium dan magnesium perlu diberikan perhatian bagi memastikan tumbesaran udang berada dalam keadaan yang baik.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor Datuk Zahari Sarip dilaporkan berkata projek yang dilaksanakan JOSFA di Kampung Sungai Danga itu mampu memperkukuh industri akuakultur negeri dan berpotensi besar dimajukan selaras permintaan tinggi terhadap udang putih tempatan.

Beliau berkata projek itu juga diharapkan mampu membantu sasaran kerajaan negeri dalam mencapai pertumbuhan pengeluaran akuakultur kepada 38,000 hingga 40,000 tan metrik setahun menjelang 2027.

-- BERNAMA