BERITA TERKINI   Kutipan cukai langsung LHDN cecah RM203.9 bilion pada 2025, julung kali melepasi paras RM200 bilion - PM Anwar | Kutipan cukai langsung LHDN cecah RM203.9 bilion pada 2025, julung-julung kali melepasi paras RM200 bilion - PM Anwar | 

Fortinet Perluas Rangkaian Infrastruktur SASE Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Fortinet, peneraju global keselamatan siber, mengukuhkan komitmen jangka panjangnya di Malaysia menerusi pelaksanaan infrastruktur Secure Access Service Edge (SASE) Titik Kehadiran (PoP) berasaskan tempatan.

Pelaksanaan SASE PoP di Malaysia itu membolehkan sambungan yang selamat dan berprestasi tinggi kepada perusahaan serta tenaga kerja hibrid, sekali gus membantu organisasi mengekalkan penguatkuasaan keselamatan yang konsisten dengan kependaman rendah ketika beralih kepada model operasi teragih dan berasaskan awan.

Naib Presiden Jualan Fortinet bagi India, SAARC, Asia Tenggara serta Australia dan New Zealand Vishak Raman berkata pelaburan berterusan syarikat di Malaysia mencerminkan komitmennya dalam memperkukuh daya tahan siber melalui pembangunan infrastruktur tempatan serta sokongan ekosistem jangka panjang.

“Ketika organisasi di rantau ini semakin mengguna pakai model kerja teragih dan teknologi awan, kami memberi tumpuan kepada pembinaan asas kukuh bagi membolehkan pelanggan dan rakan niaga berinovasi secara selamat, sejajar dengan aspirasi transformasi digital Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SASE PoP Malaysia merupakan sebahagian daripada pelaburan berterusan Fortinet dalam infrastruktur keselamatan awan di seluruh Asia Tenggara, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan agenda ekonomi digital negara.

Dengan mendekatkan penguatkuasaan keselamatan kepada pengguna dan aplikasi, pelaksanaan ini membantu organisasi meningkatkan prestasi, mempermudah operasi serta memperkukuh daya tahan siber seiring kepesatan transformasi digital.

Pengurus Negara Fortinet Malaysia, Kevin Wong berkata ekonomi digital Malaysia berkembang pesat merentasi sektor awam dan swasta, sekali gus membuka peluang baharu selain meningkatkan kerumitan risiko siber.

“Pelaburan Fortinet dalam infrastruktur SASE tempatan sejajar dengan inisiatif keselamatan siber Malaysia MADANI bagi menyokong pembangunan Awan Kecerdasan Buatan (AI) Berdaulat, sekali gus membolehkan organisasi melakukan pemodenan secara selamat,” tambahnya.

PoP tempatan itu melengkapi kehadiran sedia ada Fortinet di Kuala Lumpur serta mengukuhkan keyakinan terhadap pertumbuhan jangka panjang ekosistem keselamatan siber Malaysia.

Syarikat itu turut memaklumkan bahawa ketika organisasi memperluas strategi kerja hibrid dan penggunaan awan, infrastruktur tempatan memainkan peranan penting dalam menyediakan akses yang konsisten dan selamat, di samping menyokong keperluan kawal selia serta pematuhan yang kian berkembang.

-- BERNAMA