Affin Bank Jangka Kebangkitan Semula Kitaran Pelaburan Malaysia Pada Separuh Kedua 2026
KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Malaysia dijangka mengalami kebangkitan semula dalam kitaran pelaburannya pada separuh kedua 2026, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh walaupun berlakunya konflik di Asia Barat, menurut Affin Bank Bhd.
Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan Alan Tan Chew Leong berkata pelaburan berkemungkinan meningkat seiring dengan penggunaan swasta yang berdaya tahan, yang sepatutnya membantu mengurangkan sebarang potensi kelembapan dalam eksport susulan ketidaktentuan daripada konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran.
“Hasilnya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkemungkinan kekal pada julat 4.5 hingga 5.0 peratus, manakala kedudukan fiskal kerajaan sepatutnya kekal terurus,” katanya semasa sesi webinar yang meneliti implikasi konflik Asia Barat ke atas ekonomi global dan Malaysia.
Tan berkata dalam hal ini juga, Malaysia turut mendapat manfaat daripada harga minyak yang lebih tinggi, yang memberikan sedikit sokongan kepada tinjauan pertumbuhan negara.
“Jika kita melihat kepada analisis sensitiviti, bagi setiap kenaikan US$10 dalam harga minyak, merentasi penunjuk makro utama seperti pertumbuhan KDNK, inflasi, akaun semasa dan imbangan fiskal, KDNK Malaysia berkemungkinan bertindak balas secara positif,” katanya.
Bagaimanapun, Tan berkata daripada perspektif fiskal Malaysia, walaupun harga minyak yang lebih tinggi membawa kepada peningkatan hasil kerajaan, ia akan diimbangi oleh bil subsidi yang lebih besar.
Sementara itu, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pasaran modal juga turut terkesan oleh ketidaktentuan yang semakin meningkat.
“Walaupun pasaran maju telah mencapai tahap tertinggi baharu, keadaan ini telah mempengaruhi aliran modal. Ia mungkin kelihatan seperti pasaran pesat membangun mendapat manfaat, tetapi hakikatnya, pelabur sedang memperuntukkan semula dana daripada ekuiti ke dalam bon dan instrumen pendapatan tetap disebabkan oleh ketidaktentuan,” katanya.
Mohd Sedek berkata situasi yang berkembang itu juga menimbulkan cabaran bagi dasar kewangan, terutamanya jika konflik berterusan, memandangkan bank pusat mungkin menghadapi tekanan sama ada untuk menaikkan kadar faedah atau mengekalkan tahap semasa, dengan mana-mana keputusan berpotensi menjejaskan pertumbuhan.
“Malaysia dan ekonomi Asia yang lain sudah pun melihat peningkatan inflasi dan jika harga minyak mencecah US$100 setong, kesan daripada pusingan kedua boleh melambatkan atau malah menggagalkan proses penurunan kadar faedah oleh kebanyakan bank pusat,” katanya.
-- BERNAMA