Unit Varia Peroleh Kerja Sub Kontrak Berjumlah RM293.32 Juta Di Johor
KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Varia Bhd (Varia), Pembinaan Teguh Maju Sdn Bhd (PTM) menerima surat lantikan daripada RSM Builders Sdn Bhd bagi sub kontrak bernilai RM293.32 juta.
Varia dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata kontrak itu melibatkan penaiktarafan loji PSG024 di Pasir Gudang, Johor, kepada kemudahan rawatan kumbahan serantau.
Kerja-kerja itu termasuk pembinaan saluran paip pembentungan dan kerja rasionalisasi di sub tadahan Sungai Kim Kim West.
“PTM akan mengendalikan pembekalan buruh, bahan, peralatan dan jentera bagi reka bentuk serta pembinaan saluran pembentungan dan sistem pengangkutan,” menurut syarikat kejuruteraan pembinaan itu.
Kontrak itu berlangsung selama 55 bulan, bermula 26 April 2026, dan dijadualkan siap menjelang 30 November 2030.
Kerja tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Varia Group sepanjang tempoh kontrak.
-- BERNAMA