Pasaran Getah Ditutup Bercampur-campur Seiring Niaga Hadapan Getah Serantau
Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Isnin, menjejaki peningkatan niaga hadapan getah serantau, dalam persekitaran harga minyak mentah penanda aras yang lebih kukuh, kata peniaga.
Beliau berkata sentimen pasaran turut disokong oleh permintaan getah dari China yang stabil dan jualan kenderaan elektrik (EV) di peringkat global yang memberangsangkan.
“Bagaimanapun, peningkatan selanjutnya dikekang oleh ketidaktentuan ekonomi global yang masih berlarutan ketika pendekatan berhati-hati dilaksanakan terhadap unjuran dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS),” katanya kepada Bernama.
Menurutnya harga minyak kembali meningkat pada Isnin selepas menyusut sembilan peratus berikutan Selat Hormuz ditutup semula akibat "pelanggaran gencatan senjata" antara AS dan Iran.
Beliau berkata selain itu permintaan getah dari China dilaporkan kekal kukuh, disokong oleh kadar penggunaan kilang tayar yang tinggi.
"Jualan EV Eropah melonjak, didorong oleh harga bahan api yang tinggi, meningkatkan permintaan terhadap EV dan menyokong prospek sektor automotif yang luas," katanya.
Pada 3 petang, Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 meningkat 18.5 sen kepada 822 sen sekilogram manakala susu getah pukal berkurangan 1.5 sen kepada 769 sen sekilogram.
-- BERNAMA