BERITA TERKINI   NHMS 2025: Hanya 14.7 peratus warga emas di Malaysia capai penuaan sejahtera, mencerminkan cabaran kesihatan semakin kompleks - Dzulkefly | Eksport suku pertama 2026 Malaysia naik 12.7 peratus kepada RM426.53 bilion, nilai suku tahunan kedua tertinggi direkodkan, import meningkat 7.7 peratus kepada RM363.31 bilion, hasilkan RM63.22 bilion lebihan dagangan - MITI | Perdagangan Malaysia kekal pada trajektori pengembangan pada suku pertama 2026, meningkat 10.4 peratus kepada RM789.85 bilion berbanding tempoh sama tahun 2025, meskipun berdepan ketidaktentuan global - MITI | Sultan Selangor titah pemimpin politik bergabung tenaga, ketepi perbezaan untuk majukan negara | Sultan Sharafuddin berpandangan SUKMA di Selangor wajar ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai | 

Felda, FGV Teroka Semula Peranan Minyak Sawit, Ubah Sisa Kepada Kekayaan

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan FGV Holdings Bhd sedang meneroka semula peranan minyak sawit dalam ekonomi masa depan Malaysia, dipacu kecanggihan teknologi, dengan menilai produk sampingan minyak sawit sebagai sumber strategik dan bukan lagi sisa tradisional.

Pengarah Kumpulan, Bahagian Perladangan FGV, Izham Mustaffa berkata peranan pihaknya melangkaui operasi perladangan dengan menekankan bahawa fungsi teras FGV menyumbang kepada pembinaan negara melalui sektor pertanian.

“Pemodenan pertanian, melalui penggunaan teknologi, inovasi dan amalan terbaik penting untuk menjamin kerelevanan pada masa depan dan peningkatan  sektor ini, Bagaimanapun, untuk melonjakkan nilai, kita mesti mengubah pemikiran asas.

“Sisa bukan lagi isu pelupusan sebaliknya satu sumber dan bahan mentah yang kita boleh manfaatkan,” katanya ketika berucap pada seminar bertajuk “Waste to Wealth: Opportunities in Green Energy and Circular Economy” bagi Program Jawatankuasa Penasihat 2026, secara dalam talian hari ini.

Izham berkata justeru, pertama sekali, syarikat perladangan dan komoditi itu menumpukan kepada pembangunan tanah bagi memastikan tanah digunakan secara produktif, cekap dan mampan untuk menjana nilai sosioekonomi jangka masa panjang.

Kemajuan sosioekonomi juga merupakan keutamaan penting, dengan operasi menyumbang untuk meningkatkan pendapatan, mewujudkan pekerjaan dan membentuk komuniti yang lebih kukuh, katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan mengubah biojisim kepada tenaga hijau, yang semakin penting susulan ketidaktentuan global.

“Biojisim mesti dilihat sebagai satu sistem, bukan sebagai produk sampingan atau sisa. Kita boleh mengguna pakai model ‘Hab dan Jejari’, dengan ladang dan komuniti berperanan sebagai nod bekalan manakala hab pemprosesan berpusat memastikan kualiti dan kecekapan,” katanya,

-- BERNAMA