Ringgit Naik Semula Ke Paras 3.95 Berbanding Dolar AS Ketika Ditutup Susulan Jangkaan Rundingan As-Iran

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Ringgit meningkat semula ke paras 3.95 berbanding dolar AS semasa akhir dagangan hari ini, didorong oleh jangkaan terdapat pusingan kedua rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat 235 peratusan mata kepada 3.9500/9545 berbanding dolar AS daripada 3.9735/9805 semasa ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pusingan kedua rundingan antara AS dan Iran dijadual diadakan tidak lama lagi sekali gus meredakan ketegangan dan menyokong permintaan terhadap mata wang tempatan.

“Perkara ini berlaku berikutan gencatan senjata selama dua minggu akan tamat pada minggu depan,” katanya kepada Bernama sambil memaklumkan perkembangan terkini itu telah menyebabkan harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) dan Brent menyusut di bawah paras AS$100 setong.

Setakat ini, harga minyak WTI dan Brent masing-masing susut 2.33 peratus dan 0.64 peratus kepada US$96.77 dan US$98.72 setong.

Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama dunia.

Ringgit rendah berbanding pound Britain kepada 5.3495/3556 daripada 5.3360/3454 dan susut berbanding euro kepada 4.6567/6620 daripada 4.6434/6516, namun mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.4847/4877 daripada 2.4875/4920 semasa ditutup pada Isnin.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1053/1091 daripada 3.1145/1205 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 230.6/231.0 daripada 232.2/232.8.

Ringgit turut mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.3183/3397 daripada 12.3202/3503 dan naik berbanding peso Filipina kepada 6.59/6.61 daripada 6.60/6.62 sebelum ini.

-- BERNAMA