BERITA TERKINI   Anak syarikat Pansar Bhd, Perbena Emas Sdn Bhd memperoleh kontrak RM234.88 juta daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak untuk naik taraf Loji Rawatan Air Kaki Wong di Saratok | Semua pengimportan kenderaan elektrik CBU yang dipasang siap di luar negara adalah tertakluk kepada dua syarat utama bermula 1 Julai 2026 - MITI | MITI benarkan baki stok sedia ada dijual mengikut ketetapan dalam tempoh pengecualian khas sehingga habis | Dasar berkaitan kenderaan elektrik CBU dikembalikan kepada ketetapan sedia ada susulan penamatan tempoh pengecualian khas pada 31 Dis 2025 - MITI | Seorang lelaki berusia 70 tahun menjadi jemaah kedua meninggal dunia di Makkah akibat serangan jantung- Tabung Haji | 

Perkembangan Geopolitik Dijangka Pacu Niaga Hadapan Emas Kepada US$4,800 Minggu Depan

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mencatatkan peningkatan minggu depan dengan potensi menghampiri paras US$4,800 di tengah-tengah perkembangan geopolitik yang berterusan.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, harga emas meningkat secara beransur-ansur memandangkan krisis Asia Barat mendorong harga minyak mentah menjadi lebih tinggi.

“Perkara ini meningkatkan kebimbangan terhadap inflasi, sekali gus menjadikan emas semakin menarik sebagai pelaburan aset selamat,” katanya kepada Bernama.

Bagi perbandingan minggu ke minggu, kontrak bulan semerta April 2026 menokok kepada US$4,768.20 setiap auns troy daripada US$4,670.00 setiap auns troy yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.

Kontrak Mei 2026 berkembang kepada US$4,788.70 setiap auns troy daripada US$4,689.30 setiap auns troy.

Kontrak Jun, Julai, dan Ogos 2026 juga ditutup dengan lebih kukuh pada paras US$4,807.30 setiap auns troy auns daripada US$4,708.60 setiap auns troy pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan mingguan bertambah kepada 89 lot daripada 69 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka bertambah baik kepada 95 kontrak daripada 58 kontrak.

Harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,762.60 setiap auns troy mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 9 April, 2026.

 -- BERNAMA