BERITA TERKINI   Pindaan Akta Perkhidmatan Pos 2012 dijangka dibentang di Parlimen hujung tahun ini - Fahmi | Tahap pembinaan Projek Jambatan Kota Tinggi Bypass capai 85 peratus, jangka siap 28 Julai ini - Ahmad Maslan | Kerajaan mungkin kaji semula garis masa pelaksanaan cukai karbon berikutan krisis ekonomi dan geopolitik semasa - Arthur Joseph | Daya tahan rantaian bekalan, keselamatan tenaga dan makanan serta kerjasama dan pelaburan teknologi memerlukan usaha bersepadu ASEAN - Liew Chin Tong | Belajar daripada pengalaman krisis sebelum ini, kerajaan lebih teliti kepada bantuan yang menjurus kepada kelompok terkesan dengan krisis Asia Barat - PM Anwar | 

Unit Crescendo Jual Tanah Perindustrian Di Johor Bernilai RM346.5 Juta

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Anak syarikat Crescendo Corporation Bhd (CCB), Crescendo Development Sdn Bhd, menjual tanah perindustrian pegangan bebas kosong seluas 20.12 hektar di Kota Tinggi, Johor kepada Digital Edge Data Centers (Malaysia) Sdn Bhd pada harga RM346.53 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu memaklumkan penjualan itu memberi peluang untuk merealisasikan keuntungan serta membuka nilai aset tanah tersebut pada harga yang munasabah.

“Penjualan ini juga akan menjana aliran tunai bagi projek pembangunan Kumpulan CCB, selain membolehkan kumpulan memanfaatkan peluang bank tanah dan usaha sama di lokasi strategik lain sekiranya peluang berkenaan timbul.

“Kumpulan akan mempunyai fleksibiliti dan kecairan untuk meneroka peluang pelaburan atau projek yang memerlukan perbelanjaan modal besar, di samping mengukuhkan kedudukan modal kerja Kumpulan CCB,” menurutnya.

Menurut kumpulan itu, sebanyak RM50 juta daripada hasil jualan telah diperuntukkan bagi pembayaran sebahagian Nota Jangka Sederhana (MTN) tertunggak.

Langkah itu dijangka mengurangkan nisbah penggearan kumpulan serta membantu mengekalkan rizab tunai bagi kegunaan lain, termasuk projek sedia ada yang sedang berjalan.

-- BERNAMA