Bank Muamalat Tawar Bantuan Ketahanan Kewangan Sementara Kepada Pelanggan
KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Bhd menawarkan bantuan kewangan bersasar bagi menyokong pelanggan yang berdepan tekanan kewangan sementara susulan ketidaktentuan global, termasuk perkembangan terkini di Asia Barat.
Dalam kenyataan hari ini, bank itu berkata inisiatif di bawah ‘Program Bantuan Ketahanan Kewangan Sementara’ mencerminkan komitmen berterusannya untuk bersama pelanggan dalam menghadapi cabaran semasa, selaras dengan usaha industri perbankan dalam memperkukuh daya tahan kewangan rakyat Malaysia.
Program ini dibangunkan berasaskan kerangka sokongan kewangan sedia ada Bank Muamalat, yang diperkukuh bagi membantu pelanggan menghadapi tekanan kewangan sementara dalam persekitaran semasa.
Ia khusus bagi mereka yang mengalami gangguan pendapatan jangka pendek tetapi masih mempunyai keupayaan kewangan dalam jangka masa panjang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Khairul Kamarudin berkata inisiatif itu mencerminkan pendekatan proaktif bank dalam memelihara kesejahteraan pelanggan sambil mengekalkan disiplin kewangan yang berhemat.
“Dalam menghadapi ketidaktentuan global termasuk perkembangan di Asia Barat, Bank Muamalat kekal komited untuk menyokong pelanggan melalui penyelesaian kewangan yang bertanggungjawab dan berteraskan keprihatinan.
"Inisiatif ini bukan sekadar memberikan kelegaan sementara, tetapi bertujuan membantu pelanggan kembali mencapai kestabilan kewangan secara mampan," katanya.
Khairul turut menegaskan bahawa sebagai institusi kewangan Islam, Bank Muamalat berpegang kepada prinsip ‘Amanah’ dan ‘Ihsan’, dalam memastikan kebajikan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan.
Di bawah program ini, pelanggan yang layak boleh menikmati pelbagai bentuk bantuan, termasuk penjadualan semula bayaran melalui pelarasan jadual pembayaran serta kemungkinan lanjutan tempoh pembiayaan dan penstrukturan semula pembiayaan dengan terma yang disesuaikan mengikut kemampuan kewangan semasa.
Bank itu turut menyediakan khidmat nasihat kewangan secara peribadi, selain menggalakkan pelanggan mendapatkan bantuan lebih awal bagi mengenal pasti penyelesaian yang sesuai dan mampan.
Program ini terbuka kepada pelanggan individu yang menghadapi kesukaran kewangan sementara seperti pengurangan atau kehilangan pendapatan, tertakluk kepada penilaian dan kriteria kelayakan.
“Inisiatif ini selaras dengan usaha berterusan industri perbankan dalam membantu pelanggan mengurus tekanan kewangan jangka pendek tanpa menjejaskan kestabilan jangka panjang, di samping menyokong agenda nasional memperkukuh daya tahan kewangan rakyat dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar,” kata Khairul.
Pelanggan yang menjangkakan kesukaran untuk memenuhi komitmen kewangan digalakkan menghubungi Bank Muamalat lebih awal bagi membincangkan pilihan bantuan yang tersedia.
Permohonan boleh dibuat melalui emel atau di mana-mana cawangan Bank Muamalat di seluruh negara.
Untuk maklumat lanjut, layari www.muamalat.com.my/RNR atau kunjungi cawangan Bank Muamalat berhampiran.
-- BERNAMA