BERITA TERKINI   Dakwaan permohonan tambahan subsidi BUDI95 tidak benar dan tidak berasas, had 200 liter sebulan kekal - MOF | Pada 6 petang, ringgit hampir mendatar berbanding dolar AS kepada 4.0275/0320 daripada 4.0245/0320 semasa ditutup pada Isnin | Majlis Tindakan Ekonomi Negara teliti pelbagaikan sumber bahan api, perkukuh kerjasama dagang dan jamin input pengeluaran - Akmal Nasrullah | Krisis Tenaga Global: Special Access Pathway dilaksanakan, pastikan akses keperluan kesihatan kritikal - Akmal Nasrullah | Krisis Tenaga Global turut menjejaskan bekalan ubat dan peranti perubatan - Akmal Nasrullah | 

Peralihan Strategik Dalam Strategi Tenaga Amat Penting Dalam Gangguan Global - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Malaysia perlu mempercepat peralihannya ke arah strategi tenaga jangka panjang yang lebih mampan, pelbagai dan cekap dari segi kos, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata peralihan tuntas dalam strategi tenaga bukan sahaja merupakan keperluan alam sekitar, malah amat penting susulan gangguan dalam bekalan tenaga global.

“Kerajaan telah mengambil langkah untuk menguruskan pendedahan kepada situasi tidak menentu, mengimbangi keperluan untuk memastikan bekalan mencukupi dengan kepentingan mengurangkan tekanan terhadap kos sara hidup berikutan gangguan bekalan tenaga global,” kata beliau dalam ucaptama di Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026 di sini hari ini.

Anwar berkata gangguan tenaga global akan menjejaskan harga tenaga dan impaknya akan meliputi sistem pengeluaran, rantaian bekalan dan kos sara hidup harian di negara-negara maju dan membangun.

“Kita telah melihat gangguan terhadap tenaga dan infrastruktur yang memberi implikasi kemanusiaan serta-merta, dengan impak sosioekonomi yang meluas dan berpotensi menambah ketidakstabilan dalam persekitaran yang sedia lemah,” kata beliau.

Beliau berkata gangguan tersebut menyebabkan krisis kemanusiaan dan kejutan sistemik yang lebih luas, mengganggu pasaran, menjejaskan rantaian bekalan dan menggugat kestabilan ekonomi merentasi benua.

Anwar berkata Malaysia tidak terkecuali daripada gangguan bekalan tenaga global dan kekal komited sepenuhnya untuk melindungi kesejahteraan rakyat Malaysia.

-- BERNAMA