HLIB Turunkan Unjuran KDNK 2026 Malaysia Kepada 4.5 Peratus Susulan Krisis Tenaga Global
KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menurunkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 kepada 4.5 peratus daripada 4.7 peratus berikutan krisis tenaga global daripada konflik Asia Barat.
Menurut HLIB dalam nota penyelidikan hari ini, pertumbuhan dijangka disokong oleh eksport elektrik dan elektronik yang kukuh serta aktiviti penggunaan yang berterusan.
Katanya walaupun kapal Malaysia diberikan laluan bebas melalui Selat Hormuz baru-baru ini, risiko bekalan minyak mentah perlu diambil kira.
Katanya kedudukan Malaysia sebagai pengeksport minyak dan gas bersih (2025: RM18 bilion), sebahagian besarnya didorong oleh LNG (RM45 bilion) dan pada tahap yang lebih kecil, produk petroleum ditapis (RM3 bilion).
“Aspek yang penting, lebihan petroleum bertapis bergantung pada minyak mentah sebagai bahan mentah, dan Malaysia merupakan pengimport bersih, berjumlah RM30 bilion, dengan anggaran 50-60 peratus daripada input ini diperoleh dari luar negara, 70 peratus daripadanya adalah dari Timur Tengah.
“Sehubungan itu, selepas mengambil kira gangguan bekalan tenaga sementara, kami menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK 2026 daripada 4.7 peratus tahun ke tahun kepada 4.5 peratus,” katanya.
Sementara itu, HLIB menjangka tekanan harga ke atas RON97, diesel tanpa subsidi, elektrik dan makanan disebabkan kos komoditi yang lebih tinggi berikutan cuaca yang tidak menggalakkan dan menaikkan unjuran Indeks Harga Pengguna (IHP) 2026 kepada 2.0 peratus tahun ke tahun daripada 1.7 peratus.
“Dengan risiko inflasi cenderung kepada kenaikan dan prospek pertumbuhan yang sederhana, kami menjangka Bank Negara Malaysia mengambil pendekatan berhati-hati serta tunggu dan lihat, dengan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 2.75 peratus, pada masa yang sama, menilai impak perang Iran,” katanya.
-- BERNAMA