BERITA TERKINI   Piala Malaysia: Selangor FC 1-1 Kuching City FC | Malaysia perlu amal pendekatan diplomasi bijak bagi hadapi ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik geopolitik dunia - PM Anwar | Program MADANI Rakyat 2026 Perak rekod 303,222 pengunjung, paling tinggi sejak program itu diadakan - Nga | Generasi muda perlu kuasai kemahiran, kepakaran bidang baharu bagi wujudkan lebih ramai pakar tempatan - PM Anwar | 

MATRADE Sasar Pacu Dagangan Malaysia-Uzbekistan, Asia Tengah Pintu Masuk Strategik

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sedang meningkatkan usaha bagi memperkukuh hubungan perdagangan dua hala negara ini dengan Uzbekistan, sekali gus menjadikan Asia Tengah sebagai pintu masuk strategik ke pasaran serantau yang lebih meluas.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE S Jai Shankar berkata usaha libat urus antara kedua-dua negara juga telah meletakkan asas kukuh bagi kerjasama ekonomi lebih mendalam.

Hubungan dagangan dua hala, katanya, juga memaparkan momentum pertumbuhan menggalakkan dengan lonjakan sebanyak 26.4 peratus pada 2025 kepada kira-kira US$100 juta (US$1=RM4.01) daripada US$80 juta pada 2024.

“Ini adalah antara beberapa angka dagangan yang menarik untuk anda. Pada masa ini, pertumbuhan adalah baik, namun adakah ini sudah cukup? Itulah yang kami ketengahkan pada pada hari ini dan hadir untuk meninjau peluang bagi mengembangkan lagi perdagangan,” katanya pada sesi Forum Perniagaan dan Kerjasama Pelancongan Uzbekistan-Malaysia di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Jai Shankar berkata eksport Malaysia ke Uzbekistan juga naik 27 peratus kepada US$109 juta yang hanya membuktikan kepentingan potensi pengembangan permintaan dan pasaran.

Pada masa sama, beliau menyifatkan Uzbekistan sebagai rakan utama Malaysia dalam usaha mengakses rantau Asia Tengah yang lebih meluas.

“Kami melihat Uzbekistan sebagai antara rakan utama dari segi akses pasaran Asia Tengah memandangkan pelbagai perkembangan yang berlaku. Perubahan dinamik geopolitik juga hanya meningkatkan lagi hubungan dagangan dua hala secara lebih kukuh,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan perniagaan Malaysia untuk meninjau peluang di Uzbekistan, bukan secara satu pasaran tunggal tetapi turut menjadi penghubung ke negara-negara jiran lain.

“Jika anda bersedia untuk melakukan perdagangan pada masa ini, bukan sahaja dengan Uzbekistan tetapi kawasan sekitar rantau itu, maka anda perlu meneliti semula (untuk memperdalam) hubungan dengan Uzbekistan dan khususnya Samarkand,” katanya.

Sementara itu, Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia Dr Karomidin Gadoev berkata kehadiran perniagaan Malaysia di negara itu semakin pesat berkembang.

“Pada masa ini terdapat 47 syarikat dengan pelaburan Malaysia yang beroperasi di Uzbekistan berbanding kira-kira 30 pada dua tahun lepas,” katanya.

Gadoev berkata Uzbekistan kini menumpukan aspek kerjasama pelancongan, khususnya pakej Tambahan Umrah sebagai aspek utama kerjasama yang melibatkan penggiat seperti Lembaga Tabung Haji dan AirAsia X Bhd.

“Pihak kedutaan sentiasa bersedia untuk menyokong pengendali pelancongan Malaysia, terutama dari segi mempromosi kunjungan ke Samarkand sebagai destinasi bersejarah di sepanjang Laluan Sutera,” katanya.

-- BERNAMA