BERITA TERKINI   PM Anwar tiba di Ashgabat pada 8 malam (11 malam waktu Malaysia) untuk lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan | Kerajaan Persekutuan luluskan penubuhan Majlis Tahfiz Negara - TPM Ahmad Zahid | PRN Johor: Chu Poh Yee calon DAP bagi kerusi DUN Mengkibol menggantikan penyandang Chew Chong Sin - Loke | Bekalan minyak: draf perjanjian dan prinsip kerjasama telah dipersetujui, hanya menunggu proses pemuktamadan & pemeteraian selepas lawatan teknikal terperinci - PM Anwar | Rusia beri jaminan bekalan minyak dan gas kepada Malaysia untuk jangka masa panjang - PM Anwar | 

PM Anwar, Presiden AIIB Bincang Agenda Pembangunan Mampan

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama Presiden Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB) Zou Jiayi membincangkan agenda pembangunan mampan yang meliputi peralihan tenaga hijau serta pemerkasaan infrastruktur digital dan teknologi termaju.

Dalam catatan media sosial hari ini, Anwar berkata keutamaan kerajaan diutamakan dalam perbincangan itu yang diadakan pada Khamis apabila menerima kunjungan hormat oleh Zou, yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah AIIB bersama-sama delegasinya.

“Saya menekankan keutamaan kerajaan sebagaimana digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), yang antaranya memberi fokus kepada pemerkasaan tenaga boleh baharu, peningkatan kecekapan tenaga, serta pembangunan ekosistem digital yang berdaya saing dan inklusif,” kata beliau dalam catatan itu.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata sehubungan itu, dalam aspek pelaburan swasta dan integrasi ekonomi serantau, komitmen AIIB untuk terus memperkukuh peranan dalam merancakkan pelaburan strategik di Malaysia, khususnya dalam sektor bernilai tinggi dan berimpak besar, adalah disambut baik.

“Kerajaan akan terus memastikan ekosistem pelaburan negara kekal kondusif, berdaya saing dan berintegriti, di samping memperkukuh asas ekonomi domestik agar Malaysia kekal stabil, kukuh dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran serta ketidaktentuan geopolitik semasa,” kata beliau.

AIIB, yang berpangkalan di Beijing, China ialah bank pembangunan multilateral dengan misi membiayai infrastruktur demi masa depan Asia dan terasnya melangkaui infrastruktur dengan kemampanan.

Bank itu memulakan operasi pada 2016 dan berkembang dengan 111 anggota diluluskan seluruh dunia.

-- BERNAMA