BERITA TERKINI   Kerajaan kekalkan bantuan BUDI Diesel RM300 bagi April yang akan disalurkan mulai 8 April, manfaatkan 340,000 penerima dengan peruntukan RM102 juta - MoF | Kerajaan MADANI terus bertindak proaktif berlandaskan data dan realiti semasa supaya langkah diambil bersifat menyeluruh, berimbang dan berkesan dalam menghadapi krisis tenaga global - PM Anwar | PM Anwar mahu seluruh rakyat memperkukuh ekonomi domestik, utamakan barangan tempatan dan sokong usahawan tempatan sebagai benteng utama mengharungi krisis tenaga global | Pemandu lori maut dalam kemalangan babitkan dua lori tangki di KM40.6 lebuh raya PLUS Kulai ke Sedenak tengah hari tadi - Bomba | SPM 2025: MRSM catat indeks GPM 2.067 dengan 100 peratus calon layak terima sijil - TPM Ahmad Zahid | 

Keuntungan Sektor Insurans, Takaful Susut Kepada RM4.6 Bilion -- BNM

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Keuntungan sektor insurans dan takaful Malaysia mencatatkan penurunan kepada RM4.6 bilion pada separuh tahun kedua 2025 (ST2 2025) berbanding RM4.8 bilion pada separuh pertama 2025 (ST1 2025), walaupun prestasi pelaburan ekuiti bertambah baik, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat itu berkata keuntungan tidak direalisasikan bersih yang lebih tinggi susulan pemulihan pasaran ekuiti telah diimbangi oleh peningkatan ketara dalam kerugian pengunderaitan bersih, yang meningkat kepada RM3.6 bilion pada ST2 2025 daripada RM0.9 bilion pada ST1 2025.

BNM berkata peningkatan dalam kerugian pengunderaitan bersih sebahagiannya didorong oleh faktor bermusim, termasuk premium yang lebih rendah susulan pembaharuan polisi kumpulan, yang lazimnya berlaku pada separuh tahun pertama 2025.

“Selain itu, pendapatan premium terus terjejas oleh langkah-langkah interim yang dilaksanakan oleh industri insurans dan takaful bagi membantu individu yang mengalami semakan semula premium polisi/sijil insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT),” kata BNM hari ini dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan ST2 2025.

BNM juga berkata kerugian pengunderaitan bersih turut meningkat susulan bayaran perubatan yang lebih tinggi, yang meningkat kepada RM6.5 bilion pada ST2 2025 daripada RM5.7 bilion pada separuh sebelumnya, berikutan peningkatan kemasukan ke hospital.

“Berbanding dengan separuh tahun pertama 2025, kemasukan ke hospital meningkat bagi polisi perubatan individu dan kumpulan berikutan lonjakan kes penyakit pernafasan seperti influenza.

“Peningkatan insiden keadaan perubatan yang serius dan prosedur pembedahan turut menyumbang kepada peningkatan penggunaan perubatan secara keseluruhan,” kata BNM.

Selain itu, BNM berkata premium perniagaan baharu pada separuh kedua 2025 turut meningkat sebanyak 1.6 peratus tahun ke tahun, berbanding 4.6 peratus pada ST2 2024 dan 6.8 peratus pada ST2 2023.

Katanya, pertumbuhan yang lebih perlahan itu disebabkan oleh kemajuan yang lebih lemah dalam premium perniagaan baharu bagi produk berkaitan pelaburan (IL).

“Jualan produk IL dengan perlindungan MHIT terus terjejas akibat sentimen kurang memberangsangkan berkaitan MHIT.

“Minat terhadap produk IL juga menurun, mencerminkan kesanggupan yang lebih lemah terhadap pelaburan dalam keadaan ketidakpastian pasaran kewangan dan persaingan daripada produk simpanan alternatif,” kata BNM.

Bagaimanapun, di sebalik tekanan itu, BNM berkata premium perniagaan baharu secara keseluruhan kekal disokong oleh sumbangan yang stabil daripada segmen insurans hayat bukan sertaan dan takaful keluarga biasa.

Menurut BNM lagi, sebagai sebahagian daripada Strategi RESET yang sedang dilaksanakan bagi menangani inflasi perubatan dan memperkukuh sistem penjagaan kesihatan Malaysia, bank pusat itu bersama Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan pihak berkepentingan lain telah menerbitkan Kertas Putih mengenai Pelan MHIT Asas pada Januari 2026.

“Kertas Putih tersebut memperincikan reka bentuk pelan perlindungan perubatan yang diseragamkan dan bersifat sukarela, bertujuan meningkatkan tahap kemampuan, ketelusan serta kemampanan jangka panjang insurans dan takaful perubatan swasta di Malaysia,” kata BNM, sambil menambah pelaksanaan dijangka bermula dengan fasa perintis pada separuh kedua 2026, dengan pelaksanaan penuh pasaran disasarkan pada awal 2027.

BNM berkata keuntungan operasi syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) dalam sektor insurans am dan takaful kekal stabil pada RM1.9 bilion pada ST2 2025, tidak berubah berbanding ST1 2025.

“Walaupun prestasi pelaburan bon lebih lemah, keuntungan keseluruhan dikekalkan oleh pendapatan pengunderaitan bersih yang stabil.

“Peningkatan kecil dalam keuntungan pengunderaitan didorong terutamanya oleh pelepasan rizab tuntutan, disokong oleh penyelesaian tuntutan kecederaan pihak ketiga yang lebih tinggi oleh ITO sektor am,” kata bank pusat itu.

Sementara itu, BNM berkata walaupun keuntungan lebih rendah, sektor tersebut kekal kukuh dari segi kewangan, disokong oleh kedudukan modal dan mudah tunai yang kukuh.

“Nisbah kecukupan modal agregat bagi industri kekal kukuh pada 225 peratus pada ST2 2025, meningkat daripada 223 peratus pada Jun 2025, melebihi paras minimum pengawalseliaan pada 130 peratus.

“Sehubungan itu, penampan modal agregat yang melebihi keperluan pengawalselian juga kekal kukuh pada RM43.8 bilion, berbanding RM41.8 bilion pada Jun 2025,” kata BNM.

 

— BERNAMA