BERITA TERKINI   MPRC wajar bertindak sebagai agensi peneraju sektor OGSE - Akmal Nasrullah | Harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan bagi tempoh 1 hingga 3 Jun - Akmal Nasrullah | Malaysia dan Turkmenistan dijangka menandatangani kerjasama hidrokarbon jangka panjang pada 19 Jun bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Kerajaan perkukuh stok penimbal, percepat akses ubat-ubatan kritikal jika diperlukan - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang, kadar penyertaan kekal kukuh pada 70.9 peratus pada April - Akmal Nasrullah | 

Sektor Pembinaan Hadapi Risiko Kos Sederhana Susulan Harga Minyak Lebih Tinggi

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Sektor pembinaan Malaysia menghadapi risiko kos sederhana dengan penurunan yang terhad bagi unjuran keuntungan meskipun keadaan harga minyak semasa yang lebih tinggi berikutan konflik geopolitik di Asia Barat, menurut Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB).

Dalam nota penyelidikan hari ini, bank pelaburan itu menjelaskan kenaikan harga minyak boleh meningkatkan kos pembinaan melalui kenaikan harga diesel dan bahan binaan yang tinggi.

“Bagi bahan binaan, harga simen mungkin menghadapi tekanan sederhana susulan kenaikan harga arang batu terma manakala harga keluli dijangka kekal stabil kerana permintaan global yang lemah dan bitumen yang digunakan dalam pembinaan jalan mungkin mengalami sedikit tekanan harga kerana berkait rapat dengan harga minyak.

“Daripada perspektif ekuiti, kesan terhadap keuntungan dilihat masih boleh diurus bagi syarikat utama berkaitan pembinaan di Malaysia,” tambahnya.

Menurut Maybank IB harga minyak mentah yang lebih tinggi secara tidak langsung boleh meningkatkan kos pembinaan di Malaysia.

Walaupun minyak bukan input langsung bagi kebanyakan bahan binaan namun, komoditi itu mempengaruhi rantaian bekalan yang lebih luas yang menyokong industri pembinaan, tambahnya.

“Harga diesel lazimnya meningkat seiring dengan kenaikan harga minyak, sekali gus meningkatkan kos pengangkutan bahan binaan, manakala jentera pembinaan juga banyak bergantung kepada diesel, yang meningkatkan perbelanjaan operasi kontraktor.

“Memandangkan syarikat pembinaan Malaysia biasanya membayar harga diesel pasaran, kos bahan api yang lebih tinggi boleh menekan margin pembinaan. Harga diesel telah meningkat sebanyak 26 peratus kepada RM3.92 seliter,” menurutnya.

-- BERNAMA