BERITA TERKINI   AS lakukan siasatan di bawah Seksyen 301 terhadap lebihan kapasiti pembuatan di 15 negara, termasuk Malaysia dan Kesatuan Eropah | OGX Group Bhd disenaraikan di Pasaran ACE pada 28 sen, iaitu tujuh sen di bawah harga IPO dengan 6.67 juta saham diniagakan | Ibu kepada pelakon Ida Nerina yang juga bekas ahli politik, Datuk Marina Md Yusoff meninggal dunia akibat sakit tua semalam - Anak | 

Potensi Pelepasan Minyak Simpanan Pacu Momentum Bursa Malaysia Naik 7.10 Mata

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan momentum peningkatannya pada akhir dagangan Rabu, didorong pemulihan sentimen pasaran susulan laporan pelepasan stok simpanan minyak bagi meredakan lonjakan harga tenaga global, kata penganalisis.

Pada 5 petang ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 7.10 mata kepada 1,708.78 daripada 1,701.68 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 1.58 mata kepada 1,700.10, malah bergerak turun naik dalam julat 1,699.02 hingga 1,709.93 sepanjang dagangan hari ini.

Sentimen pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 604 berbanding 446 manakala 525 lain tidak berubah, 1,091 tidak diniagakan dan 10 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan bagaimanapun berkurangan kepada 2.70 bilion unit bernilai RM2.78 bilion daripada 3.60 bilion unit bernilai RM3.75 bilion, semalam.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dilaporkan telah mencadangkan jumlah pelepasan stok minyak yang terbesar pernah dilakukan, sekali gus dapat membantu mengekang ketidaktentuan harga minyak dalam jangka masa terdekat walaupun ini menjadi penyelesaian sementara bagi isu gangguan bekalan.

“Prospek tindakan yang diselaraskan oleh IEA, Amerika Syarikat dan negara-negara anggota Kumpulan 7 (G-7) turut membantu memulihkan sedikit keyakinan jangka pendek di pasaran kewangan selepas ketidaktentuan baru-baru ini yang dicetuskan oleh ketegangan Asia Barat yang meruncing.

“Sentimen pasaran sensitif terhadap sebarang perkembangan geopolitik. Persekitaran dagangan ketika ini lebih dipengaruhi oleh laporan berita semasa dengan semua pihak memberi tumpuan terhadap tempoh konflik Iran,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa bekalan minyak di Malaysia adalah terkawal walaupun konflik di rantau Asia Barat berpotensi menjejaskan pasaran tenaga global.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bekalan produk petroleum di negara ini mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata kerajaan juga sentiasa memantau perkembangan semasa dan berikhtiar melindungi kepentingan rakyat Malaysia, menjamin kestabilan ekonomi negara dan menyokong segala usaha ke arah keamanan serta penyelesaian diplomatik terhadap konflik yang berlaku.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI meningkat pada akhir dagangan hari ini apabila aktiviti pembelian saham pada harga rendah masih berterusan selepas jualan besar-besaran pada Isnin lepas.

“Sentimen pelabur ini turut disokong oleh penurunan harga minyak mentah yang membantu meredakan kebimbangan terhadap potensi berlakunya lonjakan inflasi global.

“Tinjauan jangka pendek bagi FBM KLCI juga bertambah baik apabila pasaran memasuki fasa pemulihan lebih stabil selepas ‘kemuncak’ geopolitik dijangka mula reda,” katanya.

Di peringkat domestik, Mohd Sedek berkata data makroekonomi yang menyokong, turut membantu menstabilkan sentimen, termasuk pengumuman statistik pasaran tenaga kerja Malaysia hari ini yang menunjukkan kadar pengangguran kekal terkawal pada 2.9 peratus, sekali gus memaparkan daya tahan berterusan dalam pasaran guna tenaga.

Data terbaharu itu juga menyusuli pengumuman semalam mengenai data pembuatan negara yang menggalakkan dan hanya mengukuhkan lagi pandangan bahawa asas-asas ekonomi Malaysia kekal utuh walaupun diasak ketidaktentuan luaran.

Mohd Sedek berkata latar belakang makroekonomi yang positif ini juga dapat dilihat melalui prestasi sektor dengan kenaikan diterajui oleh sektor kewangan.

“Sejajar kedudukan sebagai proksi utama pertumbuhan ekonomi dan aktiviti pasaran modal, saham perbankan ternyata menjadi tarikan minat belian yang menyokong pemulihan pasaran secara menyeluruh dan membantu FBM KLCI mengakhiri dagangan lebih tinggi pada petang ini,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik 14 sen kepada RM11.80, CIMB Group menokok 15 sen kepada RM8.00, Tenaga Nasional meningkat 10 sen kepada RM14.24, Public Bank tidak berubah pada RM4.75 dan IHH Healthcare susut dua sen kepada RM8.99.

Selain itu, saham paling aktif diterajui oleh Tanco Holdings yang naik satu sen kepada RM1.54, Pharmaniaga meraih setengah sen kepada 24.5 sen manakala AirAsia X susut sembilan sen kepada RM1.20, Zetrix AI turun 4.5 sen kepada 74 sen dan Capital A berkurangan 2.5 sen kepada 42.5 sen.

Kaunter paling untung Petronas Dagangan melonjak 40 sen kepada RM21.90, Chin Teck Plantations naik 26 sen kepada RM10.80, Allianz Malaysia menambah 24 sen kepada RM21.54, United Plantations meningkat 38 sen kepada RM31.64 dan KESM Industries naik 23 sen kepada RM3.02.

Sebaliknya, kaunter paling rugi dibarisi Nestle yang susut RM1.10 kepada RM102.90, Malaysian Pacific Industries susut 56 sen kepada RM29.98, Pentamaster Corp turun 12 sen kepada RM3.08, QL Resources merosot 13 sen kepada RM3.89 manakala Petronas Gas menguncup 10 sen kepada RM17.50.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Top 100 naik 55.72 mata kepada 12,326.31, Indeks FBM Emas menokok 56.34 mata kepada 12,484.14, Indeks FBM 70 melonjak 97.74 mata kepada 17,162.44, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 61.89 mata kepada 12,163.54 dan Indeks FBM ACE bertambah 45.46 mata kepada 4,404.68.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 96.27 mata kepada 20,773.32, Indeks Tenaga naik 14.89 mata kepada 796.44, Indeks Perladangan menokok 15.33 mata kepada 8,382.82 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.36 mata kepada 173.44.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 1.71 bilion unit bernilai RM2.59 bilion daripada 2.18 bilion unit bernilai RM3.49 bilion, semalam.

Pada masa sama, jumlah waran berkurangan kepada 755.37 juta unit bernilai RM91.67 juta daripada 1.09 bilion unit bernilai RM126.20 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE turun kepada 235.57 juta unit bernilai RM99.58 juta daripada 326.97 juta unit bernilai RM125.58 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 292.15 juta saham yang telah diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (278.31 juta), pembinaan (156.56 juta), teknologi (222.22 juta), perkhidmatan kewangan (72.44 juta), hartanah (204.98 juta), perladangan (26.23 juta), amanah pelaburan hartanah (32.69 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (257.47 juta), kesihatan (77.53 juta), telekomunikasi dan media (30.63 juta), pengangkutan dan logistik (28.73 juta), utiliti (38.11 juta), dan amanah perniagaan (243,800).

-- BERNAMA