BERITA TERKINI   Anak syarikat Pansar Bhd, Perbena Emas Sdn Bhd memperoleh kontrak RM234.88 juta daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak untuk naik taraf Loji Rawatan Air Kaki Wong di Saratok | Semua pengimportan kenderaan elektrik CBU yang dipasang siap di luar negara adalah tertakluk kepada dua syarat utama bermula 1 Julai 2026 - MITI | MITI benarkan baki stok sedia ada dijual mengikut ketetapan dalam tempoh pengecualian khas sehingga habis | Dasar berkaitan kenderaan elektrik CBU dikembalikan kepada ketetapan sedia ada susulan penamatan tempoh pengecualian khas pada 31 Dis 2025 - MITI | Seorang lelaki berusia 70 tahun menjadi jemaah kedua meninggal dunia di Makkah akibat serangan jantung- Tabung Haji | 

Indeks Harga Simen Naik 0.8-5.9 Peratus Tahun Ke Tahun Pada Februari 2026 -- DOSM

PUTRAJAYA, 11 Mac (Bernama) -- Indeks harga seunit simen meningkat antara 0.8 peratus dan 5.9 peratus tahun ke tahun pada Februari 2026 berbanding dengan bulan yang sama tahun lepas, manakala indeks harga besi merosot antara 1.2 peratus dan 8.1 peratus, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan dalam indeks harga seunit simen direkodkan di seluruh kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, dengan kenaikan tertinggi dicatatkan di Pahang sebanyak 5.9 peratus, diikuti Perak (5.5 peratus), dan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (5.1 peratus). 

“Perbandingan tahunan bagi tempoh Februari 2025 dan Februari 2026 menunjukkan indeks harga seunit besi merekodkan penurunan antara -1.2 peratus kepada -8.1 peratus melibatkan kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan mengenai Indeks Kos Bahan Binaan (IKB) bagi Februari 2026 yang dikeluarkan hari ini. 

Mohd Uzir berkata penurunan tertinggi dalam indeks harga besi direkodkan di Kuching (-8.1 peratus), diikuti Sibu (-7.1 peratus) dan Miri (-6.8 peratus).

Bagi perbandingan bulan, indeks harga seunit simen pada Februari 2026 meningkat antara 0.2 peratus dan 1.1 peratus berbanding Januari 2026, dengan peningkatan tertinggi dicatatkan di Kuching (1.1 peratus) dan Perak (0.4 peratus).

Sementara itu, indeks harga agregat mencatatkan sedikit peningkatan antara 0.1 peratus hingga 3.4 peratus di seluruh kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dalam tempoh yang sama.

Dari segi purata harga, keluli yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan bar terubah bentuk tegangan tinggi Mycon 60 susut -1.4 peratus kepada RM3,404.40 setan pada Februari 2026, berbanding RM3,454.00 setan pada Januari 2026.

Harga purata simen Portland biasa meningkat sedikit sebanyak 0.2 peratus kepada RM25.35 setiap karung 50 kilogram, berbanding RM25.30 bagi setiap karung 50 kilogram pada Januari.

-- BERNAMA