BERITA TERKINI   Penerima bantuan tunai BUDI Diesel dinaikkan kepada RM300 sebulan bagi tempoh interim - Kementerian Kewangan | Kerajaan MADANI kekalkan harga RON95 di bawah inisiatif BUDI95 pada RM1.99 seliter walaupun harga pam petrol RON95, diesel meningkat - Kementerian Kewangan | Isu saham Azam Baki : Jemaah Menteri terima hasil laporan siasatan Peguam Negara hari ini, tindakan lanjut diambil KSN - Fahmi | Isu 3R : Tindakan tegas perlu segera diambil, kaji pindaan undang-undang jika perlu - Fahmi | Harga subsidi RON95 kekal pada paras RM1.99 seliter - PM Anwar | 

CUSTA Kumpul US$4.3 Juta Kembangkan Platform Produk Rekaan Khusus Di Asia Tenggara

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- CUSTA mengumpul modal kira-kira US$4.3 juta (RM17 juta), termasuk ekuiti pusingan Pre-Series A yang diketuai bersama oleh Delight Ventures dan Global Brain.

Platform penyedia produk rekaan khusus itu menjelaskan modal baharu itu akan digunakan untuk mempercepat pembangunan platform, memperkukuh pasukan melalui pengambilan bakat penting serta pengurusan serta meningkatkan pelaburan pemasaran bagi memperluas asas pelanggan di Malaysia dan Singapura.

“CUSTA juga sedang memajukan sistem dan operasi berasaskan pelaksanaan kecerdasan buatan (AI) di seluruh rantaian nilai, termasuk khidmat pelanggan, produksi kreatif, perancangan serta pengurusan pengeluaran, dan logistik bagi meningkatkan kelajuan, kebolehjangkaan serta boleh skala

“Seiring dengan pengembangan syarikat di seluruh Asia Tenggara, CUSTA telah membangunkan katalog peneraju industri dengan lebih 4,500 item serta menghantar lebih 500,000 produk secara kumulatif di Malaysia dan Singapura, sekali gus menunjukkan daya tarikan pasaran,” jelasnya dalam kenyataan.

Menurut syarikat itu, produk rekaan khusus seperti hadiah korporat, barangan acara, bahan bercetak dan kit jenama kekal menjadi perantara untuk membina hubungan serta penglibatan pelanggan di Malaysia.

Terutama dalam ekonomi dengan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyumbang 39.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2024, tambahnya.

Bagaimanapun, sektor tersebut terus menghadapi cabaran termasuk harga yang tidak jelas, penyumberan vendor yang berpecah-pecah serta kesukaran melaksanakan pesanan dalam kuantiti kecil secara konsisten dan boleh dipercayai.

Selain itu, permintaan bagi produk rekaan khusus akan terus berkembang dengan pasaran Malaysia dan Singapura pada masa ini menyumbang kira-kira US$6.7 bilion (RM26.5 bilion) manakala rantau Asia Pasifik dijangka tumbuh sebagai enjin atau pemacu utama pertumbuhan.

CUSTA juga menyifatkan landskap acara perniagaan Malaysia yang rancak akan terus menjadi penggerak penting untuk produk-produk rekaan khusus serta pengaktifan korporat.

“Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) melaporkan telah memperoleh sejumlah 393 acara perniagaan pada 2025 yang menjana impak ekonomi dianggarkan bernilai RM4.07 bilion daripada kalangan delegasi antarabangsa.

“Bersandarkan fakta ini, CUSTA sedang berusaha mengetengahkan kedudukannya sebagai platform utama yang membolehkan perniagaan beralih daripada sumber secara manual kepada berulang serta diyakini bagi barangan rekaan khusus,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif CUSTA Joe Yudai Takagi berkata pendanaan itu membolehkan syarikat terbabit untuk terus membangunkan infrastruktur yang memudahkan lagi akses bagi produk rekaan khusus untuk perniagaan di serata rantau.

“Pendanaan ini membantu kami untuk meningkatkan lagi pelaburan bagi platform ini, menggaji barisan kepimpinan yang tepat serta membangunkan infrastruktur yang membolehkan produk-produk rekaan khusus ini dapat diakses dengan lebih pantas, telus serta dipercayai bagi perniagaan di serata rantau ini,” katanya.

-- BERNAMA