Ekonomi Malaysia Dijangka Berdaya Tahan Mendepani Risiko Selat Hormuz - Public IB
KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh dan peningkatan harga eksport berbanding harga import.
Bagaimanapun, ekonomi masih kekal terdedah kepada keadaan kewangan yang lebih ketat dan tekanan inflasi yang lebih meluas sekiranya gangguan di Selat Hormuz berterusan, kata Public Investment Bank Bhd (Public IB).
Bank pelaburan itu berkata dalam hal ini komoditi Malaysia secara nyata bertindak sebagai penampan, tetapi ia tidak cukup untuk mengimbangi kesan kejutan harga minyak luaran yang berpanjangan.
“Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus menunjukkan pembuat dasar bersedia untuk melihat melangkaui kejutan awal, namun ruang itu menjadi semakin terhad jika kos bahan api dan logistik yang lebih tinggi mula diterjemahkan dengan lebih ketara ke dalam harga keseluruhan,” menurut Public IB dalam nota penyelidikannya hari ini.
Public IB turut mengekalkan unjuran kadar tukaran dolar AS-ringgit pada akhir 2026 pada paras 4.00–4.05, sambil menambah pergerakan harga dalam tempoh terdekat mungkin kekal lebih kukuh sekiranya sokongan komoditi dapat mengimbangi sebahagian daripada sentimen penghindaran risiko yang lebih meluas.
Ia berkata pasaran minyak kini tidak lagi diniagakan berdasarkan premium perang semata-mata, dengan minyak mentah Brent menutup dagangan minggu lalu pada paras AS$92.69 setong, namun isu utama adalah sama ada gangguan di Selat Hormuz berlanjutan cukup lama untuk mengekalkan harga minyak pada paras tinggi selama berbulan-bulan dan bukannya berminggu-minggu.
Senario asas dalaman bank itu menjangkakan tempoh harga tinggi selama beberapa bulan, dengan purata minyak Brent melebihi US$100 setong dalam tempoh lima bulan akan datang sebelum menurun kepada sekitar US$90 setong menjelang akhir tahun.
"Di bawah senario itu, simulasi tempoh kami menaikkan purata Brent 2026 yang tersirat kepada sekitar US$94.80 setong. Pada pandangan kami, itulah ambang makro utama. Semakin lama harga minyak kekal tinggi, semakin besar risiko kejutan itu merebak daripada tenaga kepada kos penghantaran, makanan, pengedaran dan jangkaan inflasi," tambahnya.
Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) berkata konflik yang berlanjutan melebihi suku kedua boleh menyebabkan gangguan struktur kepada pergerakan kargo di Selat Hormuz dan merosakkan infrastruktur pengeluar utama Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).
Ia menambah harga minyak mentah Brent masih berpotensi meningkat dengan ketara daripada paras semasa dan mungkin mengekalkan harga yang lebih tinggi selama enam bulan hingga beberapa tahun bergantung kepada keadaan.
“Jika kita mengambil julat terendah kenaikan harga minyak mentah Brent (revolusi di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara), harga Brent boleh meningkat kepada US$93.8 setong daripada asas US$67 setong pada akhir Februari 2026.
“Bagaimanapun, jika kita mengambil senario kenaikan maksimum (pencerobohan AS ke atas Iraq), harga minyak mentah boleh melambung kepada US$261.3 setong, yang tidak mungkin berlaku memandangkan kapasiti lebihan OPEC+ kekal besar pada 5.0 juta tong sehari, berbanding sekitar 2.0 juta tong sehari atau kurang semasa perang Iraq,” kata Kenanga IB.
Bank pelaburan itu berkata syal AS masih mempunyai kapasiti sederhana untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak 0.6–1.0 juta tong sehari dalam tempoh enam bulan hingga setahun sekiranya aktiviti penggerudian ditingkatkan dengan ketara.
“Sehubungan itu, pada peringkat ini, pasaran minyak masih mempunyai penampan terhadap kemungkinan gangguan yang berpotensi di Iran dan Selat Hormuz sekurang-kurangnya selama setahun,” tambahnya.
-- BERNAMA