MBSB IB Kekal Unjuran Perolehan LHI 2026 Tidak Berubah

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) mengekalkan unjuran pendapatan 2026 bagi Leong Hup International Bhd (LHI), dengan menyatakan sebarang potensi penalti daripada prosiding perundangan yang sedang berjalan mungkin dianggap sebagai barangan luar biasa atau bukan teras. 

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, MBSB IB berkata ia mengekalkan unjuran tidak berubah walaupun terdapat perkembangan terkini kes mahkamah melibatkan unit LHI, Leong Hup Feedmill Sdn Bhd (LFM).

Katanya, penalti merupakan hukuman terburuk bagi LFM yang boleh mencecah sehingga RM157.5 juta dan turut menyatakan beberapa keadaan yang mungkin bergantung kepada keputusan mahkamah. 

Terdahulu, LHI mengemukakan rayuan terhadap keputusan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang mengenakan denda ke atas LFM kerana didakwa menjadi sebahagian daripada kartel penetapan harga makanan ternakan, selain menfailkan notis rayuan kepada Tribunal Rayuan Persaingan (CAT) bagi memohon penangguhan keputusan MyCC.

Pada 22 Dis, 2023, MyCC mengenakan penalti berjumlah hampir RM415.5 juta ke atas lima pengeluar makanan ayam, termasuk LFM, kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 dengan membentuk kartel penetapan harga untuk makanan ayam antara Januari 2020 dan Jun 2022. 

Menurut MBSM IB, di bawah andaian kes asasnya, Mahkamah TInggi telah memberikan kebenaran dan mengeluarkan penangguhan sementara, sambil tumpuan kini beralih kepada sama ada mahkamah memberikan penangguhan sementara dan jadual waktu semakan kehakiman (JR) berikutnya.

“Kami menganggap penguatkuasaan akan ditangguhkan sementara dalam jangka masa terdekat, dengan masa (dan bukannya kuantum) sebagai faktor perubahan utama bagi sebarang caj luar biasa atau aliran keluar tunai,” katanya. 

Dalam senario kurang memberangsangkan, katanya, penangguhan sementara itu boleh ditolak atau ditarik balik dengan cepat, bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dan pemulihan diteruskan serta berpotensi membawa kepada pembayaran lebih awal dan penalti dilaksanakan. 

Sebaliknya, dalam senario lain yang tidak dijangka, mahkamah boleh memberikan penangguhan sementara sambil menunggu keputusan penuh JR, yang mungkin memanjangkan tempoh penguatkuasaan dan menangguhkan sebarang aliran keluar tunai.  

MBSB IB berkata dalam keadaan paling buruk, jika dikuatkuasakan, boleh mengurangkan keuntungan teras selepas cukai LHI dan kepentingan bukan kawalan sebanyak kira-kira 28.5 peratus pada 2026 dan 26.7 peratus pada 2027. 

Katanya, pemangkin utama seterusnya ialah tarikh pengurusan kes mahkamah, yang akan menentukan arahan pemfailan dan menetapkan tarikh pendengaran bagi memohon penangguhan sementara. 

Bank pelaburan itu berkata Mahkamah Tinggi (Kuala Lumpur) pada 5 Mac telah membenarkan LFM untuk memulakan JR terhadap keputusan CAT. 

“CAT telah menolak rayuan oleh LFM, mengekalkan keputusan, penalti dan arahan MyCC, manakala LFM turut menunjukkan hasrat untuk meneruskan langkah undang-undang (kemungkinan JR), serta memohon penangguhan,” katanya. 

Mahkamah juga memberikan penangguhan sementara ke atas keputusan CAT dan MyCC, sekali gus menangguhkan prosiding penguatkuasaan, pelaksanaan dan pemulihan sehingga permohonan penangguhan sementara terhadap syarikat itu ditentukan. 

MBSB IB berkata pada peringkat ini tiada perubahan kepada prospek pendapatan teras syarikat itu, memandangkan CAT telah menolak rayuan LFM dan tidak mengubah kuantum denda. 

“Langkah seterusnya, termasuk kemungkinan cabaran perundangan selanjutnya atau penangguhan, terutamanya mempengaruhi masa dan harus dianggap sebagai perkara luar biasa,” katanya. 

Walaupun terdapat ketidakpastian undang-undang, MBSM IB mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas LHI dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.10. 

-- BERNAMA