Kerajaan Anjur Sidang Kemuncak KL20 Jun Ini - Mohd Shahar

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Sidang Kemuncak KL20, satu inisiatif kerajaan untuk melonjakkan negara sebagai hab ekosistem syarikat pemula 20 terbaik di dunia serta menarik syarikat pemula dan pelabur antarabangsa ke Malaysia bagi pelaburan dan pengoperasian syarikat akan diadakan pada Jun ini, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata sidang kemuncak itu tidak dianjurkan pada 2025 kerana inisiatif tersebut hanya dilancarkan pada tahun sebelumnya dan memerlukan tempoh penilaian perkembangan syarikat pemula sejajar dengan inovasi dan teknologi terkini.

“Syarikat pemula bukan seperti syarikat biasa kerana ekonominya merentas inovasi, dan inovasi memerlukan proses yang panjang untuk melihat hasilnya. Tahun ini kita akan membuat penambahbaikan dengan penumpuan terbesar kepada modal teroka (venture capital),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Kwong mengenai status terkini Pangkalan Data Utama (PADU), Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan Pelan Tindakan Syarikat Pemula (KL20) serta kesinambungan agenda tersebut dengan pentadbiran kerajaan semasa.

Mohd Shahar berkata pelaksanaan Pelan tindakan KL20 akan diteruskan melibatkan semua kementerian dan agensi berkaitan serta pemantauan bersama daripada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Katanya pelan itu bertujuan meletakkan Kuala Lumpur pada tangga ke-20 dalam ekosistem syarikat pemula global menjelang 2030.

“Setakat hari ini, sebanyak 5,005 syarikat pemula berjaya didaftarkan melalui MYStartup, manakala lebih 24,000 penerima berjaya mendapat manfaat daripada inisiatif pelan tindakan KL20, yang akan diperkukuhkan selaras dengan keutamaan kerajaan sedia ada,” katanya.

Mengenai PADU, beliau berkata data berpusat itu kini mengandungi profil lebih 30.7 juta warganegara dan pemaustatin tetap hasil interaksi data daripada 204 agensi melibatkan 670 set data penyediaan pangkalan data utama negara yang selamat dan komprehensif.

Sementara itu, beliau berkata seramai 6,988 isi rumah telah menyertai IPR dengan 40 peratus daripadanya telah menjana lebih RM2,000 sebulan.

Katanya sebanyak 47 projek IPR Intan sedang dilaksanakan melibatkan hampir 1,700 peserta dengan jumlah jualan terkumpul sehingga Januari 2026 dianggarkan RM22 juta, manakala pendapatan tambahan purata sekitar RM1,850 sebulan.

“Pada masa ini, Kementerian Ekonomi sedang mempertimbangkan projek-projek baharu IPR Intan dengan sasaran pertambahan 600 peserta serta peluasan projek sedia ada ke kawasan baharu dan lebih luas,” katanya.

-- BERNAMA