BNM Kekalkan OPR 2.75 Peratus, Dasar Monetori Masih Sokong Ekonomi - Ahli Ekonomi
Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus, mencerminkan pendirian dasar monetari yang terus menyokong ekonomi dalam keadaan persekitaran luaran semakin tidak menentu.
Ketua Ahli Ekonomi MARC Ratings Bhd Dr Ray Choy berkata ekonomi Malaysia berada pada kedudukan kukuh untuk menghadapi cabaran luaran memandangkan aktiviti ekonomi terus berkembang pada kadar yang sihat, manakala inflasi kekal sederhana.
“Persekitaran luaran kekal sebagai sumber utama ketidaktentuan, khususnya melalui faktor seperti kedudukan geopolitik dan geoekonomi, harga tenaga, keadaan kewangan global serta dinamika perdagangan.
“Walaupun tanpa perubahan pada kadar dasar, faktor-faktor ini boleh mempengaruhi keadaan kewangan domestik melalui kadar pertukaran, kos pembiayaan serta jangkaan pasaran,” katanya kepada Bernama.
Bank pusat itu memutuskan mengekalkan OPR pada 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) kedua daripada enam mesyuarat yang dijadualkan bagi 2026, hari ini.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi MBSB Research Abdul Mui'zz Morhalim berpendapat tiada tekanan untuk BNM melaraskan OPR berikutan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kekal berdaya tahan, disokong permintaan domestik yang kukuh serta eksport elektrik dan elektronik (E&E).
“Inflasi juga kekal relatif stabil, menunjukkan pendirian dasar monetari semasa masih sesuai buat masa ini,” katanya.
Mengulas kesan keputusan OPR susulan konflik di Timur Tengah, beliau berkata konflik geopolitik itu pada peringkat ini tidak dijangka memberi pengaruh langsung terhadap keputusan dasar BNM.
“Namun, sekiranya konflik tersebut melemahkan prospek ekonomi global dengan ketara, BNM mungkin mempertimbangkan pelonggaran OPR bagi menyokong pertumbuhan domestik, khususnya jika kelembapan permintaan menjejaskan pasaran buruh dan permintaan domestik Malaysia,” katanya.
Abdul Mui'zz berkata asas ekonomi Malaysia kekal positif, disokong antara lain oleh permintaan domestik yang stabil, keadaan kewangan yang kukuh serta kedudukan fiskal yang semakin baik.
“Faktor-faktor ini, bersama peningkatan aktiviti pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, dijangka membantu menampan ekonomi daripada ketidaktentuan luaran yang semakin meningkat susulan peningkatan risiko geopolitik di Timur Tengah,” katanya.
Sementara itu, Choy berpendapat konflik di Timur Tengah semakin meluas dan berlarutan melebihi jangkaan awal.
Penutupan ruang udara serta gangguan laluan di Selat Hormuz telah menyebabkan peningkatan kos logistik, premium insurans serta harga komoditi dan minyak.
Beliau berkata keadaan itu berpotensi meningkatkan inflasi dan menjejaskan sentimen pengguna, walaupun kesannya terhadap Malaysia dijangka lebih sederhana berikutan kewujudan subsidi serta kawalan harga bahan api dan makanan.
“Risiko geopolitik semakin meningkat, termasuk kemungkinan konflik di Timur Tengah terus memuncak, penglibatan kumpulan militan yang mengambil peluang serta serangan terhadap infrastruktur ketenteraan dan awam seperti loji penyahgaraman.
“Keputusan OPR berkemungkinan kekal bergantung kepada data ekonomi semasa dan terus menyokong ekonomi domestik,” katanya.
-- BERNAMA