BERITA TERKINI   Kerajaan MADANI komited tambah baik pemberian Persekutuan kepada semua kerajaan negeri setiap tahun, manfaat seluruh rakyat tanpa mengira negeri - PM Anwar  | Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan sepenuhnya 100 peratus kutipan cukai pelancongan kepada negeri masing-masing - PM Anwar | Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri dijangka mencecah RM10.5 bilion tahun ini berbanding RM10.3 bilion tahun 2025 - PM Anwar  | Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari BNM hari ini kekalkan OPR pada 2.75 peratus | 

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS Menjelang Pengumuman Keputusan OPR

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis disebabkan peniaga mengalihkan tumpuan kepada pengumuman kadar dasar semalaman (OPR) hari ini, walaupun terdapat konflik yang berterusan di Timur Tengah.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 3.9340/9450 berbanding dolar AS 3.9395/9456 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Bank Negara Malaysia secara meluas dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dengan pasaran tertumpu pada penilaian bank pusat terhadap perkembangan geopolitik baru-baru ini di Timur Tengah.

“Pasaran akan memerhatikan keputusan OPR lewat hari ini. Kenyataan dikeluarkan bersama keputusan OPR  akan menetapkan hala tuju dasar monetari pada masa hadapan,” katanya kepada Bernama.

Mengenai lonjakan harga minyak global baru-baru ini, Mohd Afzanizam berkata pasaran minyak mentah kekal didorong oleh perkembangan di Timur Tengah.

Beliau berkata pendapatan Malaysia kini kurang bergantung kepada minyak, diunjurkan menyumbang kira-kira 12.5 peratus pada 2026 berbanding lebih 40 peratus pada 2009.

“Sehubungan itu, Malaysia agak terlindung daripada kejutan harga minyak. Bagaimanapun, negara mengimport minyak untuk penggunaan domestik, manakala kebanyakan minyak mentah gred tinggi dieksport pada premium lebih baik. Ini boleh menjelaskan mengapa ringgit kekal berdaya tahan,” katanya.

Pada Rabu, ringgit diniagakan dalam jajaran kecil, antara RM3.9378 hingga RM3.9540 berbanding dolar AS, justeru beliau menjangkakan keadaan sama akan berterusan pada Khamis apabila peniaga kekal dalam mod mengelak risiko.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama.

Unit tempatan tidak berubah berbanding yen Jepun pada 2.5062/5134 daripada 2.5062/5108 sebelumnya, naik berbanding pound Britain kepada 5.2594/2741 daripada 5.2640/2733 tetapi berkurangan berbanding euro kepada 4.5772/5900 daripada 4.5738/5819.

Ringgit didagangkan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.0857/0946 daripada 3.0864/0921 ketika ditutup pada Rabu, menokok berbanding baht Thailand kepada 12.4494/4925 daripada 12.5246/5541, menambah berbanding rupiah Indonesia kepada 232.8/233.6 daripada 233.1/233.7 dan naik berbanding peso Filipina kepada 6.71/6.74 daripada 6.72/6.74 sebelum itu.

-- BERNAMA