BERITA TERKINI   Kerajaan masih kekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2026 pada 4-4.5 peratus walaupun konflik berlanjutan di Timur Tengah - Akmal Nasrullah | Keadaan rakyat Malaysia di Timur Tengah terkawal, pelan evakuasi belum diperlukan - Mohamad Hasan | Kerajaan masih kekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2026 pada 4-4.8 peratus walaupun konflik berlanjutan di Timur Tengah - Akmal Nasrullah | Kerajaan akan terus kekalkan harga subsidi RON95 pada paras RM1.99 seliter, tidak bercadang untuk melakukan sebarang perubahan drastik ketika ini - Akmal Nasrullah | Terbit artikel analisis pertikai kewibawaan sistem, institusi negara guna media antarabangsa antara gerakan cubaan jatuhkan kerajaan- PM Anwar | 

Kelulusan Pembaharuan Lesen Lynas Diberikan Jabatan Tenaga Atom - Chang

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Kelulusan memperbaharui lesen operasi Lynas Malaysia selama 10 tahun, berkuat kuasa esok, diberikan oleh Jabatan Tenaga Atom di bawah Akta Tenaga Atom 1984 (Akta 304), kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang.

Beliau berkata kelulusan diberikan selepas penilaian teknikal, pematuhan undang-undang, serta pertimbangan kepentingan strategik negara dan komitmen yang diberikan oleh Lynas.

“Kelulusan ini dibuat dengan pendirian yang jelas. Tiada lagi pembinaan kemudahan pelupusan kekal (PDF) baharu pada masa hadapan bagi residu Water Leach Purification (WLP) yang melebihi had kawalan di bawah Akta 304.

“Selepas tempoh lima tahun pertama, pengeluaran residu radioaktif hendaklah dihentikan sepenuhnya, dan residu yang dihasilkan dalam tempoh tersebut hendaklah dineutralkan melalui pengekstrakan thorium atau kaedah rawatan yang diluluskan, sehingga tahap kurang daripada 1 Bq/gram,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata MOSTI kekal komited memastikan industri nadir bumi (REE) dalam negara dijalankan secara selamat, bertanggungjawab, dan mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan. 

“Komitmen ini diperkukuh melalui pemantauan berterusan menerusi Environmental Radiation Monitoring System (ERMS) yang memantau dan mengesan sebarang peningkatan bacaan sinaran secara masa nyata.

“Data ini meningkatkan kesiapsiagaan kerajaan, membolehkan tindakan awal diambil untuk mengurangkan risiko radiologi kepada orang awam dan alam sekitar. Ia juga memastikan keselamatan dipantau berdasarkan data tempatan yang sahih, tanpa perlu bergantung kepada sumber luar negara,” katanya.

-- BERNAMA