BERITA TERKINI   Untung bersih Allianz naik kepada RM958.78 juta pada TK2025 daripada RM770.74 juta pada TK2024 | Untung bersih SP Setia Bhd merosot kepada RM509.96 juta pada TK2025 daripada RM575.95 juta pada TK2024 | Petronas jangka purata harga minyak mentah Brent antara US$65-US$70 setong dalam tempoh lima tahun akan datangĀ - Presiden dan CEO Kumpulan Petronas | Siasatan perlu dilaksanakan secara menyeluruh, profesional dan bebas daripada sebarang campur tangan- Jabatan Peguam Negara | Petronas menyasar untuk mengembangkan perniagaan huluan di peringkat antarabangsa sebanyak 60 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang - Ketua Pegawai OperasiĀ  | 

Malaysia Perlu Tumpu Pengukuhan Jangka Panjang Ringgit - Ahli Ekonomi

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Malaysia tidak hanya tertumpu pada paras kadar pertukaran khusus ringgit tetapi sebaliknya pada kekuatan jangka panjang mata wang tersebut kerana ia mencerminkan kesihatan keseluruhan ekonomi negara.

“Kekuatan mata wang jangka panjang akhirnya mencerminkan daya saing struktur, konsistensi dasar dan kualiti tadbir urus,” kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama.

Beliau berkata demikian berikutan jangkaan bahawa ringgit boleh menguji paras psikologi 3.80 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mungkin berlegar antara 3.78 dan 3.80.

Penganalisis telah mengunjurkan ringgit boleh berlegar antara 3.78 dan 3.80 berbanding dolar AS.

Mohd Afzanizam berkata kekuatan mata wang Malaysia adalah berikutan peningkatan sentimen dan pembaharuan ekonomi yang berterusan.

Mengenai bila ringgit akan melepasi paras psikologi 3.80, beliau berkata: “Masanya masih tidak ditentukan disebabkan oleh turun naik luaran dan dinamik mata wang global”.

“Bolehkah ia mencecah RM3.80? Saya rasa boleh, tetapi kita perlu ingat bahawa kadar pertukaran tidak pernah bergerak secara linear,” katanya.

Mata wang tempatan ditutup lebih kukuh pada hari Khamis pada 3.8865/8925 berbanding dolar AS berbanding penutupan hari Rabu iaitu 3.8900/8955, peniaga berpendapat keuntungan tersebut adalah disebabkan tinjauan ekonomi positif Malaysia, dalam persekitaran ketidakpastian mengenai dasar tarif AS dan rundingan antara AS dan Iran.

Awal minggu ini, sebuah bank pelaburan berkata ringgit berpotensi untuk meningkat lagi kepada 3.78 berbanding dolar selepas Mahkamah Agung AS membatalkan dasar tarif Presiden Donald Trump, satu langkah dilihat memberi manfaat kepada pasaran baharu muncul seperti Malaysia.

Mohd Afzanizam berkata bahawa corak kadar pertukaran sebelum ini menunjukkan mata wang tempatan telah diniagakan pada tahap yang lebih kukuh pada masa lepas, menunjukkan peningkatan berkemungkinan akan berlaku lagi di bawah keadaan makroekonomi yang menyokong.

“Dalam tahun 1980-an, purata ringgit berbanding dolar AS (USD/MYR) adalah pada RM2.4386, dan antara 1990 hingga 1996, kadar purata adalah mencecah sekitar RM2.6028.

“Ringgit bergerak di bawah paras RM3.00 ketika 2011, didagangkan pada RM2.9390 pada 27 Julai, 2011,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata data itu menunjukkan ringgit secara prestasi sejarahnya pernah mengukuh melepasi paras semasa.

Mata wang ringgit “berpotensi untuk terus mengukuh pada masa hadapan”, tertakluk kepada perkembangan luaran dan domestik, katanya.

Pergerakan kadar pertukaran itu kekal bergantung kepada kekukuhan dolar AS serta kemajuan Malaysia dalam mentransformasikan ekonomi supaya menjadi lebih berdaya saing dan cekap melalui konsistensi dasar dan pembaharuan struktur.

“Itu memerlukan dasar yang tepat dan pelaksanaan dasar pula perlu konsisten,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata kestabilan politik, tadbir urus yang cekap dan momentum pembaharuan merupakan perkara utama dalam mengekalkan keyakinan pelabur serta menyokong prestasi mata wang.

Beliau juga berkata pemilikan asing terhadap ekuiti Malaysia adalah sebanyak 19.2 peratus setakat Januari 2026 berbanding 25.3 peratus pada Mei 2013, menunjukkan masih terdapat ruang untuk peningkatan penyertaan pasaran modal sekiranya kredibiliti dasar dan asas ekonomi terus diperkukuh.

Beliau berkata langkah pengukuhan fiskal yang sedang dilaksanakan, termasuk rasionalisasi subsidi, merupakan isyarat positif yang mengukuhkan komitmen pembaharuan mengikut kerangka Ekonomi MADANI kerajaan yang lebih luas, bertujuan melonjakkan kemakmuran ekonomi jangka masa panjang.

“Saya berpandangan ringgit telah mencatatkan kemajuan ketara apabila menjadi antara mata wang yang merekodkan prestasi terbaik di Asia, dan ini mencerminkan keyakinan pasaran selepas sekian lama berada dalam keadaan suram,” katanya.

Mohd Afzanizam turut bersetuju bahawa jadual tarif baharu 15 peratus yang diumumkan oleh Trump sejurus selepas mahkamah membatalkan tarif berasaskan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) pada 20 Feb, 2026, memberi manfaat lebih besar kepada pasaran sedang pesat membangun berbanding pasaran maju.

 

Pembaharuan, Keyakinan Kunci Kepada Trajektori

Sementara itu, Ketua Ekonomi CGS International Securities Nazmi Idrus berkata komitmen berterusan terhadap pembaharuan ekonomi dan politik domestik, bersama persekitaran dolar AS yang lebih lemah di peringkat global, boleh menyokong pengukuhan nilai ringgit yang seterusnya.

Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa meramalkan trajektori tepat mata wang itu kekal sukar memandangkan ketidakpastian semasa.

Nazmi mengunjurkan pasangan dolar AS-ringgit berada pada sekitar 4.00 menjelang akhir tahun, sambil menyuarakan kebimbangan mata wang tempatan itu mungkin telah mengukuh terlalu cepat berbanding dengan asas ekonomi yang mendasarinya.

"Unjuran kami ialah kadar USD/MYR pada 4.0 pada akhir tahun dan ini kerana ringgit terlalu kukuh dengan cepat, termasuk risiko kemungkinan perkembangan pilihan raya dan isu-isu struktur seperti penggunaan yang lemah dan sektor yang tidak kompetitif," tambahnya.

Nazmi menambah penambahbaikan dalam naratif makroekonomi Malaysia dan persepsi pelabur akan menjadi pemacu utama untuk sebarang pergerakan mampan di bawah paras 3.80, bukannya kadar pertukaran itu sendiri yang bertindak sebagai pemangkin.

 

Tambatan Ringgit 3.80 Sebagai Halangan Psikologi

Malaysia menambat ringgit pada paras 3.80 berbanding dolar pada 2 September, 1998, ketika kemuncak Krisis Kewangan Asia, di bawah siri kawalan modal untuk melindungi ekonomi dan sistem kewangan daripada spekulasi mata wang oleh dana lindung nilai yang tidak bertanggungjawab dan aliran modal yang menjejaskan kestabilan.

Ini kerana, pada satu peringkat semasa krisis kewangan, ringgit diniagakan serendah RM5.00, mendorong kerajaan bertindak tegas untuk menghentikan penurunannya, manakala mata wang serantau seperti baht Thailand dan rupiah Indonesia turut terjejas teruk.

Tambatan itu ditamatkan pada Julai 2005, apabila ringgit kali terakhir diniagakan hampir 3.80 berbanding dolar AS, kadar yang mempunyai kepentingan psikologi yang kuat bagi ramai rakyat Malaysia.

Kawalan modal dan tambatan ringgit itu mendapat kritikan hebat daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang berpendapat kadar pertukaran sepatutnya ditentukan oleh kuasa pasaran, tetapi kemudian mengakui langkah berkenaan adalah dasar yang berkesan walaupun tidak konvensional, untuk menstabilkan mata wang.

Kadar tambatan itu kekal selama hampir tujuh tahun sehingga 21 Julai, 2005, apabila Malaysia beralih kepada rejim apungan terurus, membolehkan ringgit bergerak dalam julat terkawal berbanding sekumpulan mata wang lain.

Sebelum krisis kewangan itu, ringgit dilaporkan diniagakan pada paras yang sangat kukuh sekitar 2.42 berbanding dolar AS.

-- BERNAMA