BERITA TERKINI   Untung bersih Press Metal Aluminium Holdings Bhd berjumlah RM2.10 bilion bagi tahun kewangan 2025 berbanding RM1.77 bilion pada tahun kewangan 2024 | Untung bersih Mulpha International Bhd melonjak kepada RM404.30 juta bagi tahun kewangan 2025 daripada RM70.81 juta pada tahun kewangan sebelumnya | Untung Bersih Hap Seng Consolidated Bhd susut kepada RM500.32 juta bagi Tahun Kewangan 2025 berbanding RM650.48 juta pada tahun sebelumnya | Untung bersih Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd berjumlah RM384.71 juta bagi tahun kewangan 2025 berbanding RM378.14 juta pada tahun kewangan 2024 | Dewan Rakyat lulus RUU Perbekalan Tambahan (2025) bagi perbelanjaan tambahan perkhidmatan berjumlah RM7.94 bilion | 

Pengendali Pelabuhan Labuan, JKKP Bekerjasama Perkasa Keselamatan Tempat Kerja

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 26 Feb (Bernama) -- Megah Port Management Sdn Bhd (MPM), pengendali Pelabuhan Labuan bekerjasama rapat dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bagi memperkukuh piawaian keselamatan dan kesihatan pekerjaan di pelabuhan itu demi melindungi pekerja serta pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif MPM Idjal Tahir berkata kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen syarikat dalam memastikan persekitaran kerja yang selamat, mematuhi peraturan dan mampan selaras dengan keperluan keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara.

“Kami meletakkan keselamatan dan kebajikan pekerja, kontraktor serta semua pengguna pelabuhan sebagai keutamaan tertinggi.

"Kerjasama erat dengan JKKP membolehkan kami menilai dan memperkukuh sistem pengurusan keselamatan secara berterusan agar selaras dengan keperluan kawal selia serta amalan terbaik industri,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata kerjasama itu merangkumi audit keselamatan secara berkala, penilaian risiko, semakan pematuhan serta program kesedaran keselamatan melibatkan pengendalian kargo, operasi menggunakan peralatan berat dan aktiviti berkaitan kapal di pelabuhan.

Katanya, sebagai pelabuhan yang memainkan peranan strategik dalam mengendalikan kargo minyak dan gas serta barangan pengguna dan kontena, tadbir urus keselamatan juga menjadi komponen kritikal dalam operasi harian.

Sehubungan dengan itu, MPM turut memperhebat latihan dalaman bagi memastikan pekerja mahir dalam prosedur operasi selamat, protokol tindak balas kecemasan dan mengenal pasti bahaya.

“Operasi pelabuhan melibatkan jentera berat, peralatan angkat serta pergerakan kapal yang berterusan. Justeru, pendekatan proaktif terhadap keselamatan adalah amat penting berbanding pendekatan reaktif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata MPM komited melabur dalam infrastruktur keselamatan termasuk penyediaan papan tanda yang jelas, pematuhan penggunaan peralatan perlindungan diri, pengurusan aliran trafik dalam kawasan pelabuhan serta taklimat keselamatan berkala kepada semua pihak berkepentingan.

“Kerjasama yang dipertingkatkan ini dijangka terus memperkukuh reputasi Pelabuhan Labuan sebagai gerbang maritim yang selamat dan cekap, sekali gus menyokong kedudukannya sebagai hab logistik serta minyak dan gas utama di rantau ini,” kata beliau.

-- BERNAMA