Bursa Malaysia Rendah Pada Sesi Awal Didorong Ketidaktentuan Dasar AS
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia memulakan dagangan Rabu dengan meningkat namun susut kemudiannya ketika pelabur lebih berhati-hati di tengah-tengah ketidaktentuan membabitkan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS).
Pada 9.10 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.35 mata kepada 1,751.66 daripada paras penutup 1,754.01.
Sewaku pasaran dibuka, indeks penanda aras itu menokok 1.35 mata kepada 1,755.36.
Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 199 berbanding 155 manakala 261 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 2,154 tidak diniagakan dan 116 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 177.10 juta saham yang bernilai RM105.41 juta.
Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Kenny Yee berkata sentimen kekal tidak menentu susulan tindakan terbaharu Presiden AS Donald Trump menaikkan tarif global kepada 15 peratus manakala hasil Perbendaharaan 10 Tahun negara maju itu kekal mendatar pada 4.037 peratus.
“Dalam pada itu, pasaran Wall Street kembali pulih ketika kebimbangan berkaitan kecerdasan buatan (AI) menggantikan sebahagian perisian perusahaan mereda, sekali gus mengatasi mentaliti “jual dulu, tanya kemudian,” katanya kepada Bernama.
Di peringkat tempatan, Yee berkata penyusutan FBM KLCI semalam dijangka menarik kehadiran pelabur untuk memburu saham-saham berharga rendah sekiranya indeks penanda aras itu terus susut.
“Bagi hari ini misalnya, kami menjangkakan indeks itu akan bergerak dalam julat 1,750-1,765,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank turun dua sen kepada RM12.36, Public Bank susut satu sen kepada RM5.08 namun CIMB Group naik satu sen kepada RM8.45, Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.10 dan IHH Healthcare meningkat dua sen kepada RM9.10.
Bagi saham paling aktif, Teamstar yang baru disenaraikan di Pasaran ACE susut 1.5 sen kepada 24.5 sen, Pharmaniaga turun setengah sen kepada 29.5 sen, Advance Synergy merosot setengah sen kepada lapan sen, Capital A naik satu sen kepada 60 sen manakala Borneo Oil meraih setengah sen kepada satu sen.
Selain itu, kaunter paling untung menyaksikan Malaysian Pacific Industries melonjak 46 sen kepada RM31.68, Sunway Construction naik 23 sen kepada RM6.82, United Plantations menokok 20 sen kepada RM29.82, Petronas Dagangan naik 12 sen kepada RM21.52 dan Solarvest meningkat sembilan sen kepada RM2.33.
Selain itu, kaunter paling rugi termasuk Gas Malaysia yang susut 17 sen kepada RM4.58, Aeon Credit berkurangan tujuh sen kepada RM5.83, Press Metal merosot tujuh sen kepada RM7.34, Telekom Malaysia kehilangan enam sen kepada RM8.08 dan Gamuda rugi lima sen kepada RM4.10.
Di papan indeks pula, Indeks FBMT 100 turun 8.74 mata kepada 12,666.16, Indeks FBM Emas susut 7.84 mata kepada 12,843.93, Indeks FBM 70 meningkat 25.01 mata kepada 17,773.73, Indeks FBM Emas Shariah menguncup 4.52 mata kepada 12,342.38 dan Indeks FBM ACE menokok 4.40 mata kepada 4,816.53.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 26.43 mata kepada 21,687.87, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.20 mata kepada 173.41, Indeks Tenaga meningkat 3.28 mata kepada 770.22 manakala Indeks Perladangan naik 20.10 mata kepada 8,414.18.
-- BERNAMA