BERITA TERKINI   IMF unjur pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 4.7 peratus tahun ini dan 4.3 peratus tahun depan | Inflasi keseluruhan global diunjur meningkat kepada 4.4 peratus tahun ini, dan turun kepada 3.7 peratus pada 2027, merupakan semakan naik bagi kedua-dua tahun itu - IMF | IMF unjur pertumbuhan global pada 3.1 peratus tahun ini berbanding 3.4 pperatus tahun lepas, semakan turun 0.2 mata peratusan daripada unjuran pada Januari | Pemulihan aset 1MDB cecah RM31.2 bilion setakat ini, iaitu 70 peratus daripada keseluruhan aset yang telah dikenal pasti - SPRM | 1MDB: Empat karya seni bernilai USD198,125 telah dibawa pulang ke Malaysia - SPRM  | 

Rugi Bersih Berjaya Land Naik Kepada RM121.76 Juta Pada Suku Kedua Tahun Kewangan 2026

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Berjaya Land Bhd mencatatkan kerugian bersih yang lebih besar iaitu sebanyak RM121.76 juta bagi suku kedua berakhir 31 Dis, 2025 daripada kerugian bersih RM33.93 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Berjaya Land berkata peningkatan kerugiannya disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada segmen hotel dan peranginannya serta kesan tukaran mata wang asing yang tidak menguntungkan.

Bagaimanapun, perolehan menokok sebanyak dua peratus kepada RM1.77 bilion daripada RM1.73 bilion setahun lepas, dipacu oleh peningkatan perolehan daripada syarikat subsidiarinya dan pengebilan kemajuan hartanah yang lebih tinggi.

Bagi enam bulan pertama tahun kewangan 2026, Berjaya Land berkata kerugian bersihnya terus bertambah kepada RM116.23 juta daripada RM31.16 juta manakala perolehannya naik kepada RM3.66 bilion daripada RM3.50 bilion pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Mengenai prospek, kumpulan itu memberitahu, segmen perniagaan domestiknya dijangka bertambah baik berikutan perbelanjaan pengguna yang kukuh dan pertumbuhan pelancongan yang berterusan.

“Walaupun dengan perkara yang dinyatakan tadi dan sekiranya tiada keadaan yang tidak dijangka, para lembaga pengarah optimis bahawa prestasi operasi perniagaan kumpulan bagi baki suku tahun, tahun kewangan 2026 yang berakhir 30 Jun 2026 akan memuaskan,” tambahnya.

-- BERNAMA