Bursa Malaysia Ditutup Tinggi Pada Tengah Hari Disokong Belian Menyeluruh
KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia tinggi ketika mengakhiri sesi dagangan pagi didorong minat belian khususnya dalam kaunter penjagaan kesihatan, kewangan dan produk pengguna.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.81 mata kepada 1,758.64 berbanding paras 1,752.83 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks penanda aras itu dibuka 4.14 mata lebih tinggi pada 1,756.97 dan bergerak antara 1,753.32 hingga 1,759.21 sepanjang sesi dagangan.
Pasaran secara keseluruhan adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 514 berbanding 420, manakala 521 kaunter tidak berubah, 1,325 tidak diniagakan dan 24 digantung.
Jumlah dagangan mencecah 1.44 bilion saham bernilai RM1.17 bilion.
Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata perintah tarif global baharu 15 peratus oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump adalah lebih rendah berbanding kadar 19 peratus yang sebelum ini dikenakan ke atas Malaysia.
Keadaan itu dijangka memperbaiki sentimen pasaran dan menyokong FBM KLCI, khususnya bagi sektor berorientasikan eksport seperti teknologi.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM12.22 dan Tenaga Nasional kekal pada RM14.16, Public Bank meningkat enam sen kepada RM5.09 dan IHH Healthcare naik 16 sen kepada RM9.00, manakala CIMB Group susut satu sen kepada RM8.48.
Bagi kaunter paling aktif, VS Industry menambah setengah sen kepada 39.5 sen, Tanco naik dua sen kepada RM1.48 dan Zetrix AI meningkat 1.5 sen kepada 85 sen, manakala Astro Malaysia turun setengah sen kepada 9.5 sen dan Velesto Energy tidak berubah pada 31.5 sen.
Antara kaunter untung utama, Nestle melonjak RM2.50 kepada RM112.20, United Plantations meningkat 58 sen kepada RM30.58, PPB Group naik 22 sen kepada RM11.08, Malaysian Pacific Industries menambah 18 sen kepada RM30.76 dan Chin Teck Plantations meningkat 16 sen kepada RM10.88.
Bagi kaunter rugi utama, Hong Leong Financial Group merosot 42 sen kepada RM21.78, Malayan Cement susut 21 sen kepada RM8.48, Press Metal Aluminium turun 15 sen kepada RM7.55, Bintulu Port berkurang 15 sen kepada RM5.35 dan Fraser & Neave merosot 14 sen kepada RM33.00.
Di papan indeks, Indeks FBMT 100 meningkat 46.05 mata kepada 12,713.94, Indeks FBM Emas naik 46.76 mata kepada 12,893.54, Indeks FBM 70 menambah 82.80 mata kepada 17,828.50, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 39.89 mata kepada 12,408.18 dan Indeks FBM ACE naik 3.91 mata kepada 4,826.03.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 29.79 mata kepada 21,645.46 dan Indeks Perladangan naik 46.80 mata kepada 8,466.78, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.86 mata kepada 177.20 dan Indeks Tenaga berkurang 2.79 mata kepada 773.09.
-- BERNAMA