BERITA TERKINI   Kerajaan Perak umum BKK Aidilfitri RM1,500 kepada penjawat awam negeri, dibayar 16 Mac - MB | Pemberian BKK dikecualikan daripada cukai pendapatan di bawah subseksyen 127(3A) Akta Cukai Pendapatan 1967 - JPA | Pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2026 sebanyak RM500 akan dibayar pada 13 Mac - JPA | PM Anwar seru agar wujud kematangan dalam urusan politik antarabangsa | Kementerian Luar pamer prestasi membanggakan, kunjungan ke luar negara beri manfaat kepada negara - PM Anwar | 

RM6.2 Bilion Bayaran Balik Lebihan Cukai Libatkan 95,282 Kes Selesai Sehingga 18 Feb - Liew

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Sebanyak RM6.2 bilion bayaran balik lebihan cukai bagi tahun taksiran 2023 telah diselesaikan melibatkan 95,282 kes sehingga 18 Februari lepas, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.

Beliau berkata kerajaan yakin dapat menyelesaikan kes bagi tahun taksiran 2023 dengan lebih awal, iaitu pada bulan Februari 2026 berbanding sasaran awal pada suku pertama 2026.

Katanya bayaran balik bagi lebihan cukai tahun 2024 pula disasarkan untuk diselesaikan sebelum akhir tahun ini.

“Pada masa sama, bayaran balik tanpa mengira usia kes akan terus dibuat kepada semua pembayar cukai selain syarikat, terutamanya pembayar cukai individu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Liew menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Kwong mengenai jaminan kerajaan untuk memastikan masalah kelewatan pemprosesan dan pulangan lebihan taksiran cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri tidak berulang bagi mengelak keperluan peruntukan tambahan secara ad-hoc.

Dalam pada itu, katanya bayaran balik lebihan cukai yang diselesaikan tahun 2025 adalah tertinggi dalam tempoh lima tahun, iaitu RM22.45 bilion.

“Jika dibandingkan bayaran balik lebihan cukai dalam tiga tahun terkini (2023-2025), Kerajaan MADANI melunaskan bayaran balik sebanyak RM56 bilion, iaitu 50 peratus lebih tinggi daripada bayaran balik tahun 2020-2022 sebanyak RM37 bilion,” katanya.

Beliau berkata semua kes lebihan cukai bagi tahun 2022 dan sebelumnya yang boleh dibayar telah selesai pada 2025.

Katanya penyelesaian bayaran balik lebihan cukai ini telah dibuat melibatkan 3.7 juta kes pada 2025 berbanding 2.7 juta kes pada 2024.

-- BERNAMA