BERITA TERKINI   Tiga warga Vietnam dipenjara 12 tahun dan denda RM128.9 juta atas 15 pertuduhan simpan bahagian hidupan liar tanpa permit sah | Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid meninggal dunia tengah hari tadi | Inflasi Malaysia naik 1.6 peratus pada Januari 2026 dengan mata indeks meningkat kepada 135.7 daripada 133.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya - Jabatan Perangkaan | Semua kegiatan agama dan pembinaan rumah ibadat perlu ikut peraturan ditetapkan pihak berkuasa - PM Anwar | Puasa satu ujian keikhlasan, disiplin dan integriti - PM Anwar | 

Ringgit Dibuka Rendah Berbanding Dolar AS Berikutan Pengumuman Minit Mesyuarat FOMC

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa pembukaan pada Khamis berikutan mata wang AS meningkat pengumuman minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), memberi petunjuk bahawa kenaikan kadar faedah berpotensi akan berlaku, kata seorang penganalisis.

Pada jam 8 pagi, ringgit turun kepada 3.8965/9160 berbanding dolar AS daripada 3.8945/9055 semasa ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) naik 0.57 peratus kepada 97.712 mata apabila minit mesyuarat FOMC terkini menunjukkan bahawa beberapa peserta mesyuarat itu lebih cenderung kepada penjelasan dua hala mengenai keputusan jawatankuasa itu.

“Situasi ini menunjukkan bahawa menaikkan kadar faedah mungkin dilakukan sekiranya inflasi kekal melebihi paras sasaran,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata ringgit dijangka kekal sekitar RM3.89 hingga RM3.91 hari ini memandangkan butiran data yang kukuh untuk ekonomi Malaysia.

Bagaimanapun, pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5191/5318 daripada 2.5356/5430 ketika ditutup pada Isnin, melonjak berbanding euro kepada 4.5936/6166 daripada 4.6204/6335 sebelumnya dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.2583/2846 daripa 5.3137/3287.

Ringgit didagangkan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.0746/0905 daripada 3.0860/0949 ketika ditutup pada Isnin lepas, menambah berbanding baht Thailand kepada 12.4640/5364 berbanding 12.5205/5619 sebelum itu dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 230.7/232.0 daripada 231.4/232.2.

Namun, ia susut berbanding peso Filipina kepada 6.73/6.77 daripada 6.71/6.74 ketika ditutup sebelum ini.

-- BERNAMA