Ringgit Dibuka Mengukuh Didorong Dolar AS Rendah, Optimisme Terhadap Kdnk Suku Keempat
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar AS pada Jumaat, berada hampir kepada paras tertinggi dalam tempoh hampir lapan tahun didorong oleh dolar AS rendah secara berterusan dan prospek ekonomi domestik yang lebih baik meningkatkan sentimen terhadap mata wang tempatan.
Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 3.8945/9110 berbanding dolar AS daripada 3.8995/9060 semasa ditutup pada Khamis.
Kali terakhir ringgit diniagakan hampir kepada paras tersebut adalah pada 23 April 2018 pada 3.8965/8995.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka terus mendapat sokongan berikutan peniaga dan pelabur menantikan angka muktamad pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2025 yang akan diumumkan hari ini.
“Terdapat keyakinan yang tinggi bahawa pertumbuhan suku keempat 2025 dijangka melebihi anggaran awal sebanyak 5.7 peratus, dengan ringgit dilihat sedang membentuk paras asas baharu dalam persekitaran data domestik yang menggalakkan dan dolar AS rendah secara berterusan.
“Paras RM3.90 dilihat sebagai paras halangan manakala petunjuk teknikal menunjukkan paras sokongan segera pada RM3.87.
“Tanpa mengambil kira sebarang kejutan luar yang besar, ringgit dijangka mengekalkan momentum positifnya berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama.
Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5494/5604 daripada 2.5499/5543 semasa ditutup pada Khamis, mengukuh berbanding euro kepada 4.6224/6420 daripada 4.6346/6423 dan naik berbanding pound kepada 5.3035/3260 daripada 5.3220/3309.
Ringgit turut mengukuh berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 231.4/232.5 daripada 231.7/232.2, naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0850/0986 daripada 3.0931/0985, menokok berbanding baht Thailand kepada 12.5257/5885 daripada 12.5998/6273 dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 6.70/6.73 daripada 6.71/6.72 sebelum ini.
-- BERNAMA