Bank Pelaburan Optimis Terhadap Prospek Sime Darby Berdasarkan Hala Tuju Strategik Baharu

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Bank pelaburan kekal positif terhadap prospek Sime Darby Bhd berdasarkan pelan hala tuju strategik baharu syarikat itu yang memberi tumpuan kepada pengoptimuman inventori, rasionalisasi tenaga kerja, penyusunan semula rangkaian serta pembayaran balik hutang.

Pelan hala tuju berkenaan menyasarkan peningkatan pulangan atas ekuiti secara berperingkat kepada 11 peratus menjelang tahun kewangan 2030 berbanding 6.2 peratus hingga 7.2 peratus bagi tempoh tahun kewangan 2022 hingga tahun kewangan 2025.

Ia diterjemahkan kepada keuntungan melebihi RM2 bilion berbanding RM1.4 bilion pada masa ini, dipacu oleh pelbagai inisiatif pengoptimuman.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata Sime Darby berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pertumbuhan sektor perlombongan Australia dan pembangunan pusat data serantau serta mengekalkan sumbangan daripada UMW Holdings Bhd.

"Untuk segmen perindustrian, prospeknya kekal kukuh disokong oleh permintaan yang tinggi untuk peralatan berat dan perkhidmatan selepas jualan dalam sektor perlombongan Australia di tengah-tengah harga komoditi yang tinggi.

"Peneraju perlombongan, BHP dijangka mengembangkan kapasiti pengeluaran tembaga mereka tiga kali ganda menjelang 2030 yang dijangka memberikan sumbangan positif kepada keuntungan bersih Sime Darby," katanya.

Selain itu, ia berkata segmen tersebut berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pembangunan pesat pusat data di Malaysia, Singapura dan China kerana Caterpillar merupakan pembekal sistem tenaga global terkemuka.

HLIB berkata UMW terus mendapat manfaat daripada permintaan yang kukuh untuk model Toyota dan Perodua di Malaysia dan dijangka memperoleh keuntungan daripada pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan yen Jepun.

"Pengstrukturan semula selanjutnya dalam UMW dijangka meningkatkan penyelarasan dengan perniagaan teras kumpulan," katanya.

Bank pelaburan itu mengekalkan cadangan "beli" dengan harga sasaran (TP) yang tidak berubah pada RM2.50, berdasarkan diskaun 15 peratus kepada jumlah bahagian (SoP) sebanyak RM2.94 dengan potensi kenaikan lanjut kepada harga sasaran konservatifnya.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan berasingan berkata ia menggunakan nisbah harga kepada pendapatan (PER) yang lebih tinggi iaitu 13 kali, meningkat daripada lapan kali untuk segmen perindustrian Sime Darby.

Ia berkata nisbah PER ini dengan diskaun 50 peratus berbanding unjuran PER Caterpillar AS bagi tahun kewangan 2027 sebanyak 26 kali dan juga lebih konservatif berbanding Westrac melalui Sime Darby Heavy Equipment Group Singapore pada 19 kali serta Komatsu Jepun pada 18 kali.

“Penilaian yang lebih tinggi mencerminkan pelaburan yang ketara oleh pelanggannya dalam tempoh lima tahun akan datang termasuk BHP Group Ltd, Rio Tinto Group dan pelaburan AS-Australia baru-baru ini.

“Kami percaya Sime Darby berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat daripada sektor perlombongan mineral kritikal Australia,” tambahnya.

Sehubungan itu, Kenanga Investment berkata ia menaikkan TP yang diperoleh daripada SoP untuk Sime Darby sebanyak 42 peratus kepada RM2.70 daripada RM1.90 dan meningkatkan penilaian kepada "mengatasi prestasi" daripada "prestasi pasaran".

-- BERNAMA