BERITA TERKINI   PM Anwar umum peruntukan tambahan RM20 juta bagi pembaikan dan naik taraf SMJKC seluruh negara ikut keperluan | Pendidikan kekeluargaan perlu diperkasa sebagai asas pembinaan negara - PM Anwar | Dasar Kasih Keluarga Negara pastikan keluarga Malaysia terus kukuh, berdaya tahan hadapi cabaran masa depan - Nancy | 

CelcomDigi Lantik Albern Murty Sebagai CEO

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- CelcomDigi Bhd melantik Albern Murty sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa hari ini.

Dalam kenyataan hari ini, CelcomDigi berkata Murty, 53, telah menjadi sebahagian daripada pasukan pengurusan susulan penggabungan Celcom-Digi pada 30 Nov 2022 sebagai Timbalan CEO sebelum menggalas tanggungjawab sebagai Pemangku CEO.

Beliau mempunyai pengalaman kepimpinan dalam industri telekomunikasi melebihi 22 tahun termasuk sebagai CEO Digi.Com Bhd. selama tujuh tahun.

Murty sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Pemasaran Digi selain Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Negara Asia Pesat Membangun di Telenor Asia.

Pengerusi Lembaga Pengarah CelcomDigi Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz berkata pelantikan Murty dilaksanakan selepas proses pencarian yang menyeluruh dengan mempertimbangkan calon dari dalam dan luar organisasi.

Katanya langkah itu bertujuan memastikan kepimpinan yang teguh untuk memimpin syarikat ke fasa seterusnya.

“Lembaga pengarah menantikan kerjasama erat dengan beliau dan seluruh pasukan pengurusan untuk melaksanakan aspirasi strategik CelcomDigi, memacu pertumbuhan masa depan sebagai rakan kongsi kesalinghubungan yang dipercayai di Malaysia, mengukuhkan tadbir urus korporat serta terus membangunkan sebuah organisasi yang menjadi antara tempat kerja terbaik di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA