BERITA TERKINI   Piala Malaysia : Terengganu FC 1-1 Kuala Lumpur City FC | Jangan adakan perhimpunan di tempat awam sepanjang lawatan rasmi PM India ke Malaysia - KDN | 

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia terus mencatatkan penurunan pada tengah hari ini berikutan tekanan jualan berterusan di kaunter saham wajaran tinggi terpilih, diterajui oleh sektor produk perindustrian dan perkhidmatan, pengangkutan dan logistik serta perkhidmatan kewangan.

Petronas Chemicals merosot 9.0 sen kepada RM3.17, MISC berkurangan 14 sen kepada RM7.98 dan CIMB menurun 5.0 sen kepada RM8.47.

Secara keseluruhan, kaunter tersebut menyebabkan indeks komposit merosot 3.28 mata.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.18 peratus atau 3.09 mata kepada 1,727.93 daripada 1,731.02 semasa ditutup semalam.

Indeks barometer dibuka rendah 1.79 mata kepada 1,729.23 dan bergerak antara 1,723.91 dan 1,731.80 sepanjang sesi dagangan pagi.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 695 berbanding 265, dengan 510 kaunter tidak berubah, 1,185 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.77 bilion unit bernilai RM1.45 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd menjangka bursa tempatan akan terus mencerminkan sentimen semasa di Wall Street dan aktiviti belian saham pada harga rendah dijangka kembali dalam sektor perbankan dan REIT.

“Kami berpendapat bahawa prospek perbezaan kadar faedah AS-Malaysia akan menyokong naratif pengukuhan ringgit manakala hasil dividen prospektif yang baik dijangka menyediakan penampan terhadap turun naik jangka pendek.

“Berdasarkan persekitaran ringgit yang mengukuh, saham pengguna terutamanya dalam sektor ternakan berada dalam kedudukan yang baik untuk meraih manfaat.

“Oleh itu, pelabur dinasihatkan membeli saham menjelang keputusan kewangan mereka dikeluarkan bulan ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut firma broker saham itu, selepas bursa tempatan ditutup rendah semalam, paras halangan dijangka berada antara 1,746 dan 1,751, dengan paras sokongan pada 1,711 hingga 1,716.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi lain, Tenaga Nasional merosot 8.0 sen kepada RM13.90, Hong Leong Bank berkurangan 20 sen kepada RM24.76, Nestle menurun RM1.10 kepada RM111.50 manakala Public Bank menambah 4.0 sen kepada RM4.94 dan Telekom Malaysia meningkat 5.0 sen kepada RM7.90.

Dalam senarai paling aktif, Zetrix AI berkurangan 1.5 sen kepada 68 sen, AmBest Group yang mula disenaraikan di Pasaran ACE naik 8.0 sen kepada 33 sen, GDB merosot setengah sen kepada 39 sen manakala Velesto Energy dan Tanco, masing-masing mendatar pada 30 sen dan RM1.34.

Kaunter paling untung termasuklah Petronas Dagangan, yang menambah 18 sen kepada RM20.48, Perak Corporation meningkat 12 sen kepada 70 sen, LPI Capital naik 8.0 sen kepada RM15.28 serta Sunway Construction dan Life Water, masing-masing menokok 7.0 sen kepada RM5.94 dan RM1.54.

Malaysian Pacific Industries menerajui kaunter paling rugi, apabila merosot RM1.40 kepada RM30.60, Nestle menurun RM1.10 kepada RM111.50, Fraser & Neave berkurangan 92 sen kepada RM32.96, Dutch Lady Milk Industries menyusut 46 sen kepada RM33.00 dan Hong Leong Financial Group merosot 30 sen kepada RM22.50.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 berkurangan 31.19 mata kepada 12,440.76, Indeks FBM Emas jatuh 35.76 mata kepada 12,608.66, Indeks FBM Emas Shariah merosot 51.62 mata kepada 12,073.70, Indeks FBM ACE menurun 41.64 mata kepada 4,592.71 dan Indeks FBM Mid 70 menyusut 83.32 mata kepada 17,215.19.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 38.45 mata kepada 21,435.59, Indeks Perladangan berkurangan 38.67 mata kepada 8,303.71, Indeks Tenaga menurun 4.28 mata kepada 736.37 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menyusut 1.16 mata kepada 173.37.

-- BERNAMA