BERITA TERKINI   Kerajaan akan meneliti kemasukan kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) ke Malaysia bagi melindungi ekosistem automotif negara - Johari | Menara Merdeka 118 dilancarkan secara rasmi sebagai MD Nexus pertama di Malaysia - Gobind | Kementerian Digital fokus pada enam bidang berimpak untuk percepat transformasi digital pada separuh pertama 2026 - Gobind | Nilai ringgit kukuh kepada paras terbaik hampir 8 tahun pada RM3.92 berbanding dolar AS setakat 28 Jan 2026, kekal antara mata wang terbaik di Asia - Amir Hamzah | Pertumbuhan 2025 dianggarkan 4.9 peratus, perdagangan melebihi 6 peratus dan capai rekod tertinggi RM3 trilion - Amir Hamzah | 

Malaysia Bersedia Jadi Hab Perdagangan Emas Fizikal Global - MGA

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Malaysia mempunyai potensi kukuh untuk muncul sebagai hab perdagangan emas fizikal global, disokong oleh persekitaran dasar mesra perniagaan, ekosistem industri bersepadu dan Prinsip Industri Emas Malaysia (MGIP) yang akan datang.

Presiden Persatuan Emas Malaysia (MGA) Datuk Seri Louis Ng berkata kekuatan Malaysia termasuk dasar kerajaan yang konsisten, ia memacu pertumbuhan industri emas.

“Malaysia mempunyai potensi yang kukuh untuk menjadi hab perdagangan emas fizikal global kerana kerajaan kita sentiasa menetapkan dasar yang tepat untuk pertumbuhan industri logam terutamanya emas,” katanya semasa sidang media di Persidangan Emas Malaysia di sini hari ini.

Ng berkata industri logam tempatan telah berkembang pesat, menggaji kira-kira suku juta orang merentasi rantaian nilai daripada perdagangan dan runcit kepada pembuatan dan perkhidmatan berkaitan.

Beliau berkata MGIP, dijangka diterbitkan secara rasmi pada suku ketiga tahun ini akan berperanan penting dalam memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan keyakinan dalam pasaran emas domestik terutamanya dengan menangani piawaian kualiti dan tatalaku perniagaan yang bertanggungjawab dalam kalangan peniaga dan peruncit.

“Dengan MGIP, salah satu modul yang akan kami bincangkan ialah cara mengawal kualiti ahli. Akhirnya, semua kedai runcit akan membawa simbol atau logo untuk menunjukkan bahawa mereka adalah kedai emas yang bertanggungjawab,” katanya.

Ng berkata bahawa inisiatif ini walaupun secra sukarela akan membantu membentuk ekosistem perdagangan emas yang lebih dipercayai dan seragam.

MGIP akan berperanan sebagai asas kawal selia kendiri Malaysia untuk industri logam merangkumi penyumberan yang bertanggungjawab, tatalaku beretika, perlindungan pengguna dan penjajaran dengan jangkaan pematuhan piawaian pematuhan antarabangsa.

Beliau berkata prinsip-prinsip tersebut dibangunkan melalui kerjasama dengan pihak berkepentingan utama termasuk rangka kerja ditetapkan oleh Majlis Emas Dunia untuk meningkatkan keyakinan merentasi keseluruhan ekosistem, pada masa sama memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab logam berharga yang ditadbir dengan baik dan selaras dengan global.

-- BERNAMA