BERITA TERKINI   Lawatan ke Rusia bermula esok fokus agenda perkukuh jaminan bekalan minyak negara - PM Anwar | Timor-Leste mengalu-alukan pelabur Malaysia meneroka peluang pelaburan dan meraih kontrak projek ketika negara itu mula laksana pembangunan infrastruktur besar-besaran - Presiden Jose Ramos-Horta. | Fenomena El Nino: Semua pihak diingat tidak lakukan pembakaran terbuka - NRES | Fenomena El Nino berintensiti kuat dijangka berterusan sehingga awal 2027 - NRES | Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.0485/0525 berbanding dolar AS daripada 4.0555/0600 ketika ditutup Jumaat lepas | 

BNM: Aset Rizab Rasmi Malaysia Berjumlah US$125.53 Bilion Pada Akhir Disember 2025

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$125.53 bilion, manakala aset mata wang asing lain berjumlah US$266.1 juta pada akhir Disember 2025.

Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan bahawa bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek mata wang asing yang telah dikenal pasti termasuk pembayaran balik pinjaman luar negara yang dijadualkan, sekuriti dan deposit berjumlah US$12.14 bilion.

Ia berkata aliran keluar jangka pendek ini termasuk kematangan Bil Antara Bank BNM dalam mata wang asing.

"Kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak US$21.23 bilion  pada akhir bulan Disember 2025, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.

"Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek," kata bank pusat itu.

BNM berkata unjuran aliran masuk mata wang asing ini berjumlah US$2.97 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontingensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan terhadap hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun berjumlah US$417 juta.

"Rizab antarabangsa Malaysia tidak mengandungi sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, serta tidak mempunyai kemudahan kredit dan kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain. BNM juga tidak terlibat dalam opsyen mata wang asing berbanding ringgit,” katanya.

Bank pusat itu berkata mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain.

Selain itu, data ini juga memberikan maklumat serta jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi kerajaan dan Bank Negara Malaysia untuk tempoh 12 bulan akan datang.

"Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir bulan Disember 2025 tetap boleh guna," katanya.

-- BERNAMA