BERITA TERKINI   RM254 juta diperuntukkan bagi program pembangunan koperasi tahun ini, tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 - Steven Sim. | Ladang Solar KLIA dijangka kurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 35,000 tan setahun - Fadillah | Inisiatif Ladang Solar KLIA sokong sasaran Malaysia capai 70 peratus penggunaan tenaga boleh baharu menjelang 2050 - Fadillah | Pelancaran Ladang Solar dan sistem penstoran tenaga (BESS) sokong operasi KLIA sebagai infrastruktur pengangkutan kritikal negara - TPM Fadillah | Dua PPS tempatkan mangsa kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang ditutup hari ini - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi | 

Kementerian, GLIC Digesa Tumpu Pada Penilaian Keberkesanan Inisiatif PuTERA35 - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kementerian serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memberi penekanan serius terhadap aspek penilaian keberkesanan inisiatif berimpak tinggi di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).

Beliau yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Bilangan 1 Tahun 2026 hari ini berkata kementerian dan GLIC juga perlu memastikan pelaksanaan inisiatif yang dirangka tidak bertindih dan bersifat saling melengkapi.

Anwar menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini berkata analisis mendalam dan berterusan penting bagi mengelakkan kecenderungan hanya sekadar menyenaraikan usaha yang telah dilaksanakan, tanpa menilai impak sebenar serta ruang penambahbaikan yang wajar diterokai.

Menurut beliau, MEB telah meneliti secara menyeluruh kemajuan pelaksanaan serta inisiatif berimpak tinggi di bawah PuTERA35.

“Mesyuarat turut mengambil maklum kemajuan semasa pelaksanaan pelbagai inisiatif oleh GLIC dalam menyokong agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera, khususnya dalam bidang pembangunan hartanah, keusahawanan, pembangunan bakat dan inisiatif sosial.

“Dengan pendekatan yang lebih bersepadu, berfokus dan tersusun, saya yakin inisiatif di bawah PuTERA35 akan terus memberi manfaat merentasi pelbagai lapisan masyarakat serta menzahirkan hasil yang dihasratkan demi kemakmuran ekonomi Bumiputera dan negara secara keseluruhan,”  kata Anwar.

-- BERNAMA