Kedai Rakan Niaga SARA Meningkat Kepada Lebih 10,000 Di Seluruh Negara Setakat 26 Jan - Liew
KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Jumlah kedai Rakan Niaga Sumbangan Asas Rahmah (SARA) meningkat kepada 10,447 di seluruh negara setakat 26 Jan 2026 berbanding hanya 700 kedai pada 2024, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.
Beliau berkata jumlahnya akan terus bertambah dari semasa ke semasa termasuk pasar raya, kedai runcit, kedai koperasi dan pasar mini yang terletak di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.
Katanya kerajaan akan sentiasa meneliti syarat untuk menjadi Rakan Niaga SARA dari semasa ke semasa bagi memastikan kedai runcit tempatan dan peniaga kecil turut terlibat secara langsung selaras dengan ketetapan Perutusan Tahun Baharu 2026 oleh Perdana Menteri.
“Setakat ini, banyak permohonan telah diterima dan kerajaan akan mempercepat memprosesnya selari dengan sasaran dua minggu tempoh kelulusan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) mengenai proses kelulusan inisiatif Kedai MyKasih dan kriteria kelayakan yang diguna pakai selain syarat menjual melebihi 70 peratus barangan keperluan asas.
Bagi negeri Sarawak sahaja, terdapat 1,096 premis telah didaftarkan sebagai Rakan Niaga SARA.
Sementara itu, Liew berkata kerajaan berhasrat menambah baik kriteria dan syarat untuk menjadi Rakan Niaga SARA.
“Kerajaan juga bersedia mendengar untuk melonggarkan lagi syarat atau kriteria sedia ada sekiranya mempunyai asas yang kukuh,” katanya.
-- BERNAMA