BERITA TERKINI   MARA Corp sasar kurangkan kerugian terkumpul kepada RM49.7 juta menjelang akhir 2026, capai prestasi keuntungan terkumpul menjelang akhir 2027 - Ketua Pengarah | MARA sasar jana nilai melalui pelaburan bersasar, berimpak tinggi berjumlah RM2.2 bilion menjelang 2030, meliputi inisiatif kredit karbon dan pembangunan hartanah bernilai tinggi - Ketua Pengarah | Kerajaan setuju bayar RM200 sebagai pendahuluan Bantuan Khas Insentif Pembajakan, manfaatkan hampir 240,000 pesawah - PM Anwar | Kadar sewa premis semua agensi kerajaan Persekutuan seperti MARA dan UDA dikurangkan, bantu peniaga kecil - PM Anwar | Cuaca panas: TUDM, Bomba diarah tingkat aktiviti pembenihan awan di utara Semenanjung bagi atasi kesukaran dihadapi petani - PM Anwar | 

Richmond Asia Group Lantik Frasers Hospitality Pengurus Hotel Richmond Mayor Di JB

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Richmond Asia Group Sdn Bhd melantik Frasers Hospitality sebagai syarikat pengurusan hotel bagi suite hotel di Richmond Mayor, sebuah pembangunan bercampur baharu dan bersepadu di Johor Bahru.

Frasers Hospitality merupakan unit perniagaan strategik kumpulan hartanah multinasional, Frasers Property.

Terletak di Mount Austin, antara kawasan yang berkembang pesat di Johor Bahru, Richmond Mayor merangkumi suite hotel, pusat beli-belah gaya hidup premium, suite pejabat, suite perkhidmatan serta kediaman berperkhidmatan.

“Selain pusat beli-belah gaya hidup premium yang menampilkan pilihan peruncit dan penyewa terpilih, termasuk pasar raya dan restoran, gabungan strategik perkhidmatan berfokuskan kesejahteraan membentuk ekosistem kesihatan dan kesejahteraan holistik dalam pembangunan bersepadu ini,” menurut Richmond Asia Group dalam satu kenyataan.

Melalui kerjasama dengan Frasers Hospitality sebagai pengendali hotel yang dilantik, kumpulan itu berkata Richmond Mayor akan terus memperkukuh cadangan nilainya.

“Kerjasama strategik ini membawa kepakaran hospitaliti bertaraf dunia ke Richmond Mayor, sekali gus memastikan penduduk dan tetamu dapat menikmati standard perkhidmatan dan keselesaan global di penginapan mereka.

“Pemeteraian perjanjian pengurusan hotel dengan Frasers Hospitality juga mencerminkan komitmen berterusan kumpulan terhadap strategi pelaburan yang dipacu hospitaliti,” katanya.

Menurut kumpulan itu, fasa pertama pembangunan berkenaan iaitu Menara A akan menjadi pengenalan rasmi Richmond Mayor.

"Menara A yang merangkumi hotel, suite pejabat dan suite perkhidmatan merupakan penanda aras bagi pembangunan bercampur yang tersendiri di Mount Austin. Pencapaian ini mencerminkan visi Richmond Asia Group untuk menyampaikan nilai berkekalan menerusi pembangunan berkualiti tinggi yang dirancang secara teliti,” katanya.

Mengulas mengenai pembangunan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Richmond Asia Group Aaron Yap berkata Richmond Mayor menggabungkan seni bina sofistikated dengan kemudahan yang bermanfaat, merangkumi pusat beli-belah gaya hidup premium hingga perkhidmatan kesejahteraan holistik.

“Setiap elemen dirangka untuk menawarkan pengalaman bandar yang seimbang dan berkualiti. Gabungan inilah yang menjadikan Richmond Mayor sebagai lokasi ideal untuk didiami, bekerja dan melabur, menepati rentak kehidupan seharian moden,” katanya.

Pelabur, rakan strategik dan wakil media dijemput untuk mengikuti perkembangan Richmond Mayor apabila maklumat lanjut diumumkan dalam beberapa bulan akan datang.

-- BERNAMA