BERITA TERKINI   Bekas PTD Hafizuddeain Jantan mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan terima wang hasil aktiviti haram RM145,000 | Bekas PAT Mohd Nizam Jaffar mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan guna kedudukan, terima lebih RM700,000 dan pecah amanah RM3 juta | 

Pasaran Getah Ditutup Rendah Susulan Prestasi Bercampur-campur Di Pasaran Serantau

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah hari ini di tengah-tengah prestasi bercampur-campur di pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran juga terjejas oleh prestasi harga minyak mentah yang bercampur-campur dan ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS.

Harga minyak tidak banyak berubah selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menarik balik ancaman tarif ke atas negara-negara Eropah berhubung isu pengambilalihan Greenland oleh AS.

Sementara itu, pelabur juga mengikuti rapat perkembangan peningkatan inventori minyak mentah AS dan gangguan bekalan baru-baru ini.

“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya getah dihadkan oleh kebimbangan terhadap bekalan bahan mentah yang semakin berkurangan di negara-negara pengeluar getah asli utama disebabkan oleh keadaan cuaca buruk, serta langkah-langkah rangsangan ekonomi terbaharu oleh China,” katanya kepada Bernama.

Ketika ini, harga minyak mentah penanda aras Brent turun 0.61 peratus kepada US$64.82 setong.

Pada 3 petang, Getah Standard Malaysia (SMR) 20 susut satu sen kepada 742.5 sen sekilogram (kg), manakala lateks pukal kekal tidak berubah pada 576 sen.

-- BERNAMA