MOSTI Teraju Inisiatif AI Teknologi Pintar Bagi Daya Saing Industri
IPOH, 21 Jan (Bernama) -- Malaysia sedang mengalami transformasi secara mendalam untuk mempercepat penerimagunaan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), sistem pintar, automasi dan penyelesaian cekap tenaga merentasi sektor, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.
Menurutnya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memacu inisiatif dalam AI, transformasi digital, pembuatan pintar, teknologi hijau dan kejuruteraan bernilai tinggi di bawah agenda inovasi negara.
Chang berkata inisiatif berkenaan bertujuan untuk memperkukuh ekosistem teknologi Malaysia dan meningkatkan daya saing negara.
Bagaimanapun beliau berkata teknologi perlu diintegrasikan secara berkesan dalam aplikasi dunia sebenar bagi memberikan impak yang ketara.
“Melalui agenda inovasi nasional MOSTI, kami memacu inisiatif dalam AI, transformasi digital, pembuatan pintar, teknologi hijau dan kejuruteraan bernilai tinggi.
“Bagaimanapun, teknologi tidak boleh wujud secara terasing. Nilai sebenarnya hanya dapat direalisasikan apabila ia diintegrasikan dalam infrastruktur dunia sebenar seperti bangunan, kilang, hospital, sistem pengangkutan dan kemudahan industri,” katanya ketika berucap sempena pelancaran prospektus syarikat kejuruteraan mekanikal dan elektrikal Kee Ming Group Bhd di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Pengarah Urusan Kee Ming, Liew Kar Hoe.
Chang berkata syarikat seperti Kee Ming memainkan peranan penting manakala bidang kejuruteraan teras seperti sistem elektrik, penyaman udara dan pengudaraan mekanikal (ACMV), perlindungan kebakaran serta infrastruktur tenaga semakin dipertingkatkan dengan teknologi pintar dan dipacu data.
“AI membolehkan penyelenggaraan ramalan yang mengurangkan masa henti dan kos. Sistem pengurusan tenaga pintar mengoptimumkan penggunaan dan menyokong matlamat kemampanan.
“Sistem keselamatan dan kebakaran pintar meningkatkan masa tindak balas dan melindungi nyawa. Bangunan pintar meningkatkan keselesaan, kecekapan dan daya tahan,” katanya.
Sementara itu, Saarani dalam ucapannya berkata kerajaan negeri melalui Pelan Perak Sejahtera 2030 telah menetapkan satu pendekatan pembangunan yang jelas iaitu membina ekosistem ekonomi yang menyokong pertumbuhan industri bernilai tinggi secara mampan.
“Pendekatan ini menekankan kepastian dasar, pembangunan infrastruktur strategik, tenaga dan teknologi serta pemerkasaan modal insan sebagai asas daya saing jangka panjang.
“Dalam kerangka ini, sektor kejuruteraan mekanikal dan elektrikal merupakan antara komponen teras yang menyokong peralihan industri merangkumi sistem elektrik, penyaman udara dan pengudaraan mekanikal, perlindungan kebakaran, infrastruktur tenaga dan kecekapan operasi,” katanya.
Beliau berkata kehadiran syarikat tempatan berkeupayaan membolehkan ekosistem industri negeri berfungsi secara menyeluruh sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, memperkukuh pembangunan bakat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Di peringkat antarabangsa, sektor mekanikal dan elektrikal dijangka terus berkembang, didorong oleh pembangunan infrastruktur, pendigitalan sistem dan keperluan kelestarian global.
“Dalam landskap ini, syarikat yang mampu menggabungkan keupayaan teknikal, tadbir urus yang kukuh serta pembangunan kemahiran dan teknologi hijau akan berada pada kedudukan yang lebih berdaya tahan dan kompetitif,” katanya.
-- BERNAMA