BERITA TERKINI   Cadangan Bekerja Dari Rumah sektor awam diteliti, mungkin dibincang dalam Kabinet esok - Fahmi | Unit MN Holdings raih kontrak projek pencawang pusat data bernilai RM216 juta di selatan Semenanjung Malaysia | Jumlah rizab LTAT meningkat 29.1 peratus tahun ke tahun kepada RM1.31 bilion berbanding RM1.01 bilion pada tahun kewangan 2024 | LTAT catat RM749.49 juta dalam pendapatan pelaburan bagi tahun kewangan 2025, keuntungan boleh agih berjumlah RM541.56 juta. | LTAT isytihar dividen 5.35 peratus, RM524.74 juta bagi tahun kewangan 2025, tertinggi dalam tempoh lapan tahun | 

Tadbir Urus Korporat Yang Kukuh Kunci Kepada Keyakinan Pelabur Dan Kestabilan -- Fadillah

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Tadbir urus korporat yang kukuh yang berpaksikan kepada kepercayaan dan akauntabiliti adalah penting untuk mengekalkan keyakinan pelabur serta kestabilan pasaran modal Malaysia di tengah-tengah peningkatan ketidaktentuan global, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata keyakinan tidak muncul secara kebetulan tetapi diperoleh melalui konsistensi, kawalan dan tanggungjawab, sambil menekankan bahawa walaupun pasaran mungkin bertindak balas terhadap prestasi kewangan jangka pendek, daya tahan jangka panjang bergantung kepada kepercayaan.

“Pasaran mungkin bertindak balas terhadap angka dalam jangka pendek tetapi ia akan bertahan disebabkan kepercayaan. Apabila kepercayaan diwujudkan, ia menjadi kuasa yang kuat, yang mampu menstabilkan pasaran, menarik pelaburan jangka panjang dan membolehkan ekonomi mengemudi ketidaktentuan tanpa kehilangan hala tuju,” katanya ketika berucap pada Anugerah Tadbir Urus dan Kemampanan Korporat Kebangsaan (NACGSA) 2025 di sini malam ini.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata prinsip ini sejajar dengan rangka kerja Malaysia MADANI. “MADANI menyeru kita untuk meneruskan pembangunan yang mampan, dipacu nilai serta teguh dalam integriti. Ia mengingatkan kita bahawa pertumbuhan tanpa kepercayaan adalah rapuh dan cita-cita tanpa akauntabiliti akhirnya menjadi tidak mampan,” katanya.

Beliau berkata dalam konteks nasional yang lebih luas ini, NACGSA, yang dianjurkan oleh Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG), memainkan peranan penting dalam mengukuhkan piawaian tadbir urus dengan mengiktiraf kepimpinan yang bertanggungjawab dan bukannya bergantung semata-mata kepada peraturan.

“NACGSA bukan sekadar platform untuk pengiktirafan tetapi juga merupakan satu isyarat. Isyarat bahawa kepimpinan dalam ekonomi hari ini diukur bukan sahaja dengan prestasi, tetapi melalui pengawasan; bukan sahaja dengan hasil, tetapi dengan tanggungjawab,” jelas beliau.

Memandang ke hadapan, Fadillah berkata jangkaan akan terus bertambah, dan cabaran akan menjadi lebih kompleks, bukan sahaja daripada segi kecekapan teknikal tetapi juga kejelasan tujuan serta kepimpinan yang mantap. Beliau menyatakan “kekuatan Malaysia terletak pada keupayaan untuk bergerak ke hadapan tanpa kehilangan kompas moralnya, menyesuaikan diri dengan perubahan sambil kekal berpaksikan nilai, mengejar pertumbuhan tanpa menjejaskan integriti, dan bersaing sambil kekal berpegang pada akuantabiliti.”

NACGSA mengiktiraf syarikat tersenarai awam Malaysia yang menunjukkan piawaian yang tinggi dalam tadbir urus korporat dan amalan kemampanan.

--BERNAMA