BERITA TERKINI   Banjir di Sarawak pulih sepenuhnya, PPS terakhir di Balai Raya Sebauh, Bintulu ditutup 4 petang tadi - JPBN Sarawak | Piala Malaysia: Imigresen FC 0-0 Negeri Sembilan FC | Kementerian Luar sahkan laporan seorang rakyat Malaysia hilang di Jeddah sejak 15 Jan lepas | Kementerian Luar sahkan laporan rakyat Malaysia hilang di Jeddah sejak 15 Jan lepas | 

Bursa Malaysia Dijangka Diniagakan Dalam Jajaran Sederhana Dan Kecil Minggu Depan

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran sederhana dan kecil minggu depan, kata seorang ahli ekonomi.

Pengarah strategi pelaburan dan ahli ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata walaupun aktiviti pengambilan untung mungkin berterusan susulan kenaikan kukuh baru-baru ini namun minat belian dijangka kekal bertahan terutamanya dalam segmen syarikat permodalan sederhana dan kecil.

"Penyertaan pelabur asing juga dijangka terus meningkat, susulan sesi pembelian asing bersih kelima berturut-turut setakat Khamis.

“Anggaran awal keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2025 mengukuhkan profil pertumbuhan dan dengan indeks utama melepasi paras 1,700 secara mampan, ini memberikan justifikasi kepada pelabur asing untuk menilai semula pendedahan kepada ekuiti Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Dari segi makro, di dalam negara, tumpuan akan terarah kepada mesyuarat dasar monetari Bank Negara Malaysia pada 23 Januari, dengan jangkaan konsensus bank pusat akan mengekalkan kadar dasar pada 2.75 peratus.

"Persekitaran kadar faedah yang stabil sepatutnya terus menyokong asas korporat dengan mengukuhkan kos pembiayaan dan meningkatkan pendapatan," kata Mohd Sedek.

Jabatan Perangkaan Malaysia pada Jumaat mengeluarkan anggaran awal keluaran dalam negara kasar bagi suku keempat 2025 yang mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.7 peratus, didorong oleh prestasi kukuh merentasi sektor ekonomi utama dan permintaan domestik yang kukuh. 

Bursa Malaysia diniagakan tinggi sepanjang minggu yang baru berakhir sebelum ditutup rendah pada Jumaat berikutan aktiviti pengambilan untung yang dipengaruhi sentimen bercampur-campur di kebanyakan pasaran serantau.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 26.20 mata kepada 1,712.74 daripada 1,686.54 pada minggu sebelumnya. 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 180.52 mata kepada 12,645.03, Indeks FBMT 100 meningkat 184.47 mata kepada 12,436.72, Indeks FBM Emas Shariah naik 54.91 mata kepada 12,302.82, Indeks FBM 70 menokok 236.37 mata kepada 17,685.61, manakala Indeks FBM ACE susut 28.06 mata kepada 4,973.43.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat sebanyak 682.86 mata kepada 20,725.81, Indeks Perladangan susut 123.48 mata kepada 8,367.10, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.74 mata kepada 175.07, manakala Indeks Tenaga menokok 2.83 mata kepada 784.05.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 15.97 bilion unit bernilai RM15.88 bilion daripada 13.54 bilion unit bernilai RM13.50 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 8.37 bilion unit bernilai RM14.24 bilion, daripada 7.41 bilion unit bernilai RM11.96 bilion.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 5.01 bilion unit bernilai RM697.01 juta daripada 3.98 bilion unit bernilai RM520.40 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 2.58 bilion unit bernilai RM932.35 juta daripada 2.15 bilion unit bernilai RM1.02 bilion.

-- BERNAMA