Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Susulan Kenaikan Harga Minyak Kacang Soya
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi dan Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri dagangan hari ini dengan lebih tinggi, didorong oleh kenaikan harga minyak kacang soya di Chicago Board of Trade (CBOT).
Peniaga daripada Iceberg X Sdn Bhd yang berpangkalan di Kuala Lumpur, David Ng berkata prestasi lebih baik itu dipengaruhi oleh rancangan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk mengumumkan kuota biobahan api menjelang Mac ini.
“Perkembangan itu berkemungkinan besar meningkatkan permintaan menyeluruh terhadap minyak kacang soya yang akan melonjakkan sentimen dalam pasaran minyak sawit.
“Apabila berlaku kenaikan harga minyak kacang, minyak sawit sebaliknya akan dilihat sebagai alternatif terdekat yang hanya merangsang minat belian dalam kalangan peniaga.
“Sentimen itu telah memulihkan persepsi pasaran berikutan permintaan yang lebih baik terhadap minyak sayuran secara keseluruhannya yang menyokong harga minyak sawit dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama.
Laporan media antarabangsa semalam memaparkan rancangan pentadbiran Trump untuk memuktamadkan kuota biobahan api pada awal Mac 2026 dan menggugurkan pelan mengenakan penalti terhadap import bahan api boleh diperbaharui dan bahan mentah berkaitan.
Dalam pada itu, Ng berkata paras sokongan harga adalah pada RM4,000 satu tan manakala rintangan pada RM4,100 satu tan.
Pada akhir dagangan hari ini, kontrak Januari 2026 naik RM65 kepada RM4,026 satu tan, Februari 2026 menokok RM77 kepada RM4,057 satu tan manakala Mac 2026 melonjak RM82 kepada RM4,072 satu tan.
Kontrak April 2026 naik RM82 kepada RM4,079 satu tan, Mei 2026 meningkat RM84 kepada RM4,082 satu tan manakala Jun 2026 melonjak RM85 kepada RM4,077 satu tan.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 96,095 lot daripada 147,837 lot semalam manakala kepentingan terbuka susut kepada 249,340 kontrak daripada 259,206 kontrak, sebelum ini.
Harga fizikal MSM bagi Januari Selatan meningkat sebanyak RM60 kepada RM4,050 satu tan.
-- BERNAMA