BERITA TERKINI   JHEV peruntuk RM8 juta bina baharu, baik pulih rumah veteran ATM di seluruh negara tahun ini - Adly Zahari | 

Ringgit Ditutup Rendah Apabila Dolar AS Lebih Kukuh Pengaruhi Pasaran

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis apabila dolar menjadi lebih kukuh berbanding mata wang utama lain selepas Presiden AS Donald Trump dilaporkan tiada rancangan untuk menyingkirkan Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed).

Pada 6 petang, mata wang tempatan turun kepada 4.0535/0595 berbanding dolar AS daripada 4.0465/0525 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dolar AS berada pada kedudukan yang lebih kukuh, dengan Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.13 peratus kepada 99.187 mata.

Dalam satu temu bual baru-baru ini, Trump menyatakan beliau tidak mempunyai rancangan untuk menyingkirkan Pengerusi Fed ketika ini, Jerome Powell, walaupun siasatan berterusan oleh Jabatan Kehakiman.

Mohd Afzanizam berkata berita itu memberi sedikit sokongan kepada dolar AS, memandangkan calon baharu bagi jawatan Pengerusi Fed akan diumumkan dalam beberapa minggu lagi.

“Ringgit berbanding dolar AS berlegar dalam julat kecil hari ini, antara RM4.048 hingga RM4.0578, berikutan sentimen berhati-hati dalam pasaran,” katanya kepada Bernama.

Ketika akhir dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan turun berbanding yen Jepun kepada 2.5594/5633 daripada 2.5488/5526 ketika ditutup semalam, dan susut berbanding euro kepada 4.7167/7236 daripada 4.7146/7216.

Mata wang domestik juga rendah berbanding pound British kepada 5.4467/4548 daripada 5.4446/4526.

Ringgit juga susut berbanding mata wang negara ASEAN.

Unit domestik kurang stabil berbanding dolar Singapura kepada 3.1491/1540 daripada 3.1432/1481 ketika ditutup pada Khamis, dan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 239.9/240.3.

Ringgit hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 6.81/6.83 daripada 6.81/6.82 dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.9096/9349 daripada 12.8714/8958.

-- BERNAMA