BERITA TERKINI   Kereta mewah, wang tunai RM1.3 juta dan 66 jongkong emas antara disita dalam siasatan kes libatkan dua pegawai kanan ATM - KP SPRM | Pegawai penyiasat diarah siapkan kertas siasatan libatkan PTD selewat-lewatnya Isnin minggu hadapan - KP SPRM | Siasatan kes rasuah bekas Panglima Tentera Darat dimulakan sebelum pengadu buat laporan polis - KP SPRM | ADUN Merlimau Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh umum letak jawatan Exco Kerajaan negeri Melaka berkuat kuasa minggu depan | Gabungan pelaksanaan pantas, reformasi mendalam tentukan keupayaan perkhidmatan awam kekal relevan, diyakini - KSN | 

Pengeluar Sarung Tangan Malaysia Sasar Margin Meningkat Susulan Kos Lebih Rendah

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Pengeluar sarung tangan Malaysia dijangka terus memaparkan perkembangan positif dalam struktur kos lebih rendah yang diterjemahkan kepada peningkatan margin serta keuntungan bersih lebih kukuh dalam memasuki tahun 2026.

Kenanga Investment Bank Bhd (KIBB) menyatakan jangkaan itu berdasarkan dua keputusan suku tahunan terkini Top Glove Corporation Bhd (suku keempat tahun kewangan 2025 dan suku pertama tahun kewangan 2026) yang menunjukkan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat kepada 14 peratus pada suku pertama 2026 daripada 10 peratus pada suku keempat 2025.

Kossan Rubber Industries Bhd pula mencatat margin EBITDA dalam julat 11-14 peratus sepanjang tempoh dari suku keempat tahun kewangan 2024 hingga suku ketiga tahun kewangan 2025.

“Kami percaya menerusi peningkatan margin dan jumlah jualan secara beransur-ansur dapat meredakan kebimbangan sebelum ini mengenai struktur kos pengeluar sarung tangan Malaysia yang kurang kukuh hingga memberi tekanan terhadap menekan margin dan menjejaskan keuntungan secara menyeluruh,” kata bank pelaburan itu dalam nota tinjauannya, hari ini.

Pada masa sama, Kenanga IB berkata syarikat pengeluar sarung tangan tempatan juga dapat meraih manfaat di tengah-tengah kemelut gangguan bekalan serta cabaran operasi serantau.

Menurutnya, berdasarkan semakan, sebuah kilang pengeluaran China di Indonesia sedang mengalami masalah kelewatan pengeluaran dengan output atau pengeluarannya kini dijangka menjelang akhir suku pertama 2026.

Selain itu, kemudahan pengeluaran sarung tangan Sri Trang di hab selatan Hatyai yang terjejas akibat banjir, telah digantung operasinya untuk sementara sejak 23 Nov, 2025.

“(Berikutan itu), sarung tangan Malaysia sedang didagangkan pada paras nilai lebih mendalam dan menghampiri tahap terburuk dalam kitaran penurunan ketika pendapatan menunjukkan tanda-tanda awal pemulihan secara berperingkat.

“Pada masa sama, permintaan struktur jangka panjang berserta rasionalisasi bekalan yang menawarkan kecenderungan peningkatan jangka panjang,” katanya.

Bank pelaburan itu menjangkakan Kossan kurang terjejas kerana tumpuannya kepada penghasilan sarung tangan khusus yang meraih margin lebih baik.

Ini juga bertepatan dengan struktur kos yang berdisiplin serta usaha berterusan untuk memperkemas operasi dan menyaksikan keuntungan kumpulan dijangka kurang terkesan oleh sebarang potensi pesanan yang lebih perlahan.

Pada 10.02 pagi ini, saham-saham saham Top Glove di Bursa Malaysia susut setengah sen kepada 63 sen manakala Kossan turun dua sen kepada RM1.05 dengan jumlah dagangan masing-masing sebanyak 2.04 juta dan 1.81 juta unit.

-- BERNAMA