BERITA TERKINI   Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dilantik Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri berkuat kuasa hari ini - PMO | Lebih 12.5 juta rakyat Malaysia manfaatkan SARA untuk Semua dengan perbelanjaan lebih RM1 bilion dalam tiga minggu - PM Anwar | SARA untuk Semua adalah hasil penjimatan yang dicapai melalui penstrukturan semula kewangan negara - PM Anwar | Proses tambah baik RUU Asing Peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya dijangka ambil masa tiga bulan - Fahmi | Jemaah Menteri setuju RUU Hadkan Tempoh Jawatan PM dibentang semula di Parlimen pada Jun - Fahmi | 

Pakatan Baharu, Perjanjian Dagangan Bantu Malaysia Kurang Risiko Global Pada 2026 – WEF

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Manfaat lain yang timbul berikutan kebimbangan risiko global  menyebabkan negara seperti Malaysia membentuk pakatan baharu dan meneruskan perjanjian perdagangan pelbagai hala atau dua hala serantau, bagi mengurangkan kesan khususnya dengan pelaksanaan tarif Amerika Syarikat, kata Pengarah Urusan Forum Ekonomi Dunia (WEF), Saadia Zahidi.

Berikutan usaha berterusan yang dilaksanakan oleh Malaysia, beliau menegaskan bahawa perubahan itu kini menuju ke arah yang lebih positif bagi tinjauan semasa. 

Beliau berkata kesemua usaha itu amat penting terutamanya dalam mengurangkan impak konfrontasi geoekonomi yang semakin meningkat, susulan pengenalan tarif.

“Malaysia adalah pemain utama di Asia Timur dan ekonomi global meletakkannya di tengah-tengah cabaran ini (risiko penurunan, peningkatan inflasi dan potensi risiko gelembung aset).

“Bagaimanapun, negara-negara besar masih boleh mengambil tindakan bagi mempengaruhi hasil,” katanya kepada media semasa pembentangan Laporan Risiko Global 2026 secara dalam talian hari ini.

Selain itu, beliau berkata jika sebarang kebimbangan itu mula berlaku, ia akan memberi kesan yang besar terhadap permintaan, terutamanya bagi barangan dan perkhidmatan yang datang dari pasaran membangun seperti Malaysia. 

Menurut laporan tersebut, lima risiko utama bagi Malaysia yang dikenal pasti oleh Tinjauan Pendapat Eksekutif (EOS) 2025 adalah konfrontasi geoekonomi (sekatan, tarif, tapisan pelaburan); kekurangan bakat dan/atau buruh; gangguan kepada rantaian bekalan yang penting secara sistematik; kesan buruk teknologi kecerdasan buatan; dan kekurangan peluang ekonomi atau pengangguran.

-- BERNAMA